PETALING JAYA: “Vale komited untuk terus beroperasi di Malaysia sebagai syarikat yang mampan dan berdaya
maju.”
Itu penegasan Leonardo Paiva yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu anak syarikat Vel di Malaysia, Vale Malaysia Minerals Sdn. Bhd.
Menurut Leonardo, syarikat berharap untuk meneruskan kemajuan yang telah dicapai dengan komuniti dan institusi tempatan sejak memulakan kehadirannya di Perak sedekad lalu.
“Keselamatan dan kebolehpercayaan operasi akan terus kekal menjadi tumpuan kami,” katanya lagi dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, pada 2019, 90 peratus tenaga kerja syarikat terdiri daripada warganegara Malaysia dan hari ini, angka itu telah meningkat kepada 97 peratus.
“Saya memberi jaminan bahawa Vale akan terus mengutamakan pemerkasaan tenaga kerja tempatan sebagai sebahagian daripada komuniti profesional global Vale yang dinamik,” kata beliau.
Vale dalam kenyataan tersebut memberitahu, Leonardo akan mengambil alih kepimpinan syarikat daripada Rodrigo de Araujo yang dilantik sebagai CEO Vale di Malaysia pada 2019.
Katanya, dengan pengalaman 22 tahun, Leonardo mempunyai rekod prestasi dalam memacu transformasi dalam bidang operasi pelabuhan dan logistik.
“Peranan terakhirnya sebagai Pengurus Eksekutif Perlombongan di Kompleks Parapoeba, Brazil; salah satu lombong Vale di wilayah selatan Brazil, memaparkan kebolehan beliau mengurus operasi Vale berskala besar,” katanya.
Jelas syarikat perlombongan terkemuka dunia itu, Rodrigo memainkan peranan penting dalam memulihkan operasi Terminal Maritim Teluk Rubiah (TRMT) secara selamat semasa wabak melanda, serta kejayaan pelancaran pelbagai teknologi automasi di pelabuhan, termasuk pemunggah muatan kapal berautomasi sepenuhnya yang ketiga di dunia.
Sejajar dengan transformasi baharu Vale di semua negara di mana ia beroperasi, katanya, Rodrigo juga mengetuai pelaksanaan program bantuan pandemik ‘Vale Bersama Manjung’ bernilai RM2.0 juta untuk komuniti di Manjung.
“Baru-baru ini, beliau mengumumkan pelaburan sebanyak RM5.0 juta untuk menaik taraf Vale Eco Centre (VEC) bagi menjadikan pusat ini salah satu hab ekopelancongan terkemuka di Perak,” tambahnya.
Direka untuk mengendalikan sehingga 30 juta tan bijih besi, TRMT ialah pelaburan langsung asing (FDI) tunggal terbesar di Perak.
Terminal itu, yang memulakan operasi pada 2014, dikendalikan oleh tenaga kerja terdiri daripada 97 peratus warga Malaysia dengan lebih 60 peratus dari Manjung. – UTUSAN










