Naskhah Halimun setaraf filem - Utusan Malaysia

Naskhah Halimun setaraf filem

NABILA mempamerkan persembahan yang mengesankan dalam Halimun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPATUTNYA, naskhah berjudul Halimun arahan Muzzamer Rahman ini ditayangkan di layar perak dan bukan hanya selesa di platform Astro First sahaja.

Itu rumusan daripada mereka yang hadir ke tayangan perdana naskhah terbitan Azura Pictures, baru-baru ini yang kagum dengan keseluruhan hasil kerja Halimun.

Malah, naskhah itu juga memiliki semua kriteria untuk diangkat ke layar perak dan bukan berada dalam kategori supertele.

Bagaimanapun, mungkin ada sudut positif yang boleh diambil daripada situasi ini. Siapa tahu, selepas mendapat sambutan penonton di rumah, ia mencetuskan idea buat penerbit untuk menghasilkan naskhah sekuel dan dibawa ke layar perak.

Pengarahnya, Muzzamer memberitahu, Halimun bukan semata-mata menerapkan elemen seram atau mistik sebagai jalan penceritaan.

Kata Muzzammer, dia menggarap naskhah ini dari sisi yang berbeza dan penonton dapat merasai elemen kasih sayang serta pengorbanan yang dipaparkan menerusi watak Zahir dan Laila.

“Naratif Halimun ini adalah kombinasi kajian, bacaan dan tontonan daripada filem seram yang diadun dengan peristiwa diinspirasikan daripada pengalaman orang sekeliling saya.

“Menerusi naskhah ini, saya cuba tampilkan kelainan dengan mempamerkan makhluk ghaib, selain menyuntik elemen ketakutan apabila orang yang kita sayang ‘ghaib’ atau hilang.

“Alhamdulillah, produksi ini berjaya dihasilkan meskipun berdepan cabaran terbesar dari sudut kekangan masa ketika penggambaran. Saya juga perlu memastikan jumlah babak mencukupi supaya suasana dalam cerita dapat disampaikan melalui visual dengan baik. Saya harap naskhah ini dapat diterima baik penonton,” katanya.

Sementara itu, penerbit Halimun, Mimi Azura Ahmad Tajudin pula berkata, pihaknya berbangga dengan komitmen yang diberikan barisan pelakon.

Kesungguhan yang dipamerkan, katanya membuktikan percaturan mereka dalam pemilihan pelakon untuk menjayakan naskhah tersebut tidak tersasar.

“Kami teruja dengan pembikinan supertele ini apabila berpeluang bekerjasama dengan pelakon hebat pelbagai generasi, selain barisan tenaga produksi terbaik yang pakar dalam bidang masing-masing.

“Terima kasih kepada Finas yang memberi kepercayaan dan sokongan kepada kami untuk berkarya melalui Dana Program TV/OTT di bawah program Dana Kandungan Digital (DKD) dengan kerjasama Astro.

“Harapan kami, segala kreativiti dalam berkarya menerusi naskah ini akan mendapat tempat di hati penonton,” katanya.

SINOPSIS:

Halimun mengisahkan Zahir yang berkahwin dengan Laila tanpa mengetahui latar belakang wanita itu. Setelah berkahwin, Zahir mengalami beberapa peristiwa aneh lalu meminta bantuan sahabat lama, Adi iaitu seorang penyelesai masalah paranormal. Namun, setelah Adi membantu Zahir dan Laila, keadaan menjadi lebih tidak terjangka.

Halimun membariskan gabungan pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Nabila Huda, Kodi Rasheed, Chubb-E, Harun Hashim dan Puteri Balqis Azizi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×