Daripada jurutera, kini bergelar usahawan kopi dan pokok - Utusan Malaysia

Daripada jurutera, kini bergelar usahawan kopi dan pokok

Nurul Asyikin dan suami, Baharudin bersama pekerja di Nuhayra Brew & Nuhayra Pretty Leaf.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sanggup meninggalkan kerjayanya sebagai jurutera dengan mengusahakan perniagaan berkonsepkan kafe dalam nurseri yang dilihat mampu menjana pendapatan lumayan.

Pemilik Nurhayra Enterprise, Nurul Asyikin Rosli, 35 berkata konsep Nuhayra Brew & Nuhayra Pretty Leaf tersebut diilhamkan ketika dia dan suami yang juga pemilik bersama perniagaan itu, Kapten (B) Baharudin Muhamad, 35, merasakan kopi dan pokok hidup hiasan dalaman sudah menjadi trend masa kini, selain permintaan terhadap dua produk itu amat tinggi dalam pasaran.

“Saya tinggalkan kerjaya sebagai jurutera di sebuah syarikat elektronik dekat Perai setelah enam tahun berkhidmat iaitu pada 2016 kerana pekerjaan tersebut menuntut komitmen masa yang tinggi sehingga menyebabkan kualiti masa bersama keluarga terjejas.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ketika itu, suami masih berkhidmat sebagai tentera di ibu negara dan kami menjalani hidup sebagai pasangan jarak jauh selama tujuh tahun. Anak pula masih kecil. Situasi tersebut memberi kesan terhadap diri sehinggalah saya mengambil keputusan nekad berhenti kerja dan mula fokus kepada pernia­gaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di premis­nya dekat Kepala Batas, baru-baru ini.

Sambung niaga online

Lulusan Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Sains Kimia, Universiti Sains Malaysia (USM) ini berkata, selepas berhenti kerja, dia kembali menyambung perniagaan yang diusahakan terlebih dahulu seperti menjual tudung dan baju muslimah menerusi platform e-dagang sebagai pendapatan sampingan.

“Saya cuba menjual pokok hidup hiasan dalaman berikutan mendapat permintaan. Itupun dalam kalangan rakan-rakan memandangkan mereka tahu hobi saya gemar menghias rumah menggunakan pokok hiasan dalaman. Mereka tertarik untuk mendapatkan pokok hiasan tersebut.

“Setelah suami tamat kontrak bersama badan beruniform sekitar 2020, kami mula fokus kepada jualan pokok hiasan dalaman secara e-dagang selama hampir setahun dan hasilnya amat memberangsangkan.

“Meskipun 2020 pandemik Covid-19 sedang menular, kami melihat situasi tersebut sebagai kelebihan untuk peniaga dalam talian seperti kami. Apabila orang ramai tidak dapat keluar, mereka membeli-belah secara maya,” kata ibu anak dua ini.

Permintaan meningkat

Setelah permintaan terhadap pokok hiasan dalaman itu kian meningkat, pasangan ini mula mengambil pekerja untuk membantu menguruskan stok dan tempahan.

Pada permulaan, tempat proses tempahan, pembungkusan dan penyimpanan stok pokok dilakukan di rumah.

Dengan hasil yang diperoleh, mereka mendapatkan sebuah gudang untuk menempatkan pokok-pokok agar lebih tersusun dan terjaga.

Mengimbau detik penamatan perkhidmatan dalam tentera pada 2020, Baharudin berkata, ia bukan sesuatu yang manis untuk dikenang kerana perkhidmatannya ditamatkan berikutan mengalami kecederaan di kaki semasa bertugas dan tidak memungkinkan dia meneruskan bidang yang dicintainya itu.

Cabaran mulakan perniagaan

Pemegang Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan dari USM ini berkata, situasi dilalui itu membuatnya ‘terduduk’ kerana perlu mencari sumber pendapatan lain memandangkan dia dan isteri tiada pendapatan tetap.

“Saya ada terima tawaran pekerjaan sebagai eksekutif tetapi ditarik balik ekoran pandemik. Meskipun sedih, saya percaya ada sesuatu yang Allah nak beri selepas ini dan kami meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Pada tahun sama, isteri mendapat idea untuk meluaskan cabang perniagaan dengan membuka sebuah kafe kopi yang dibancuh dalam nurseri yang saya rasakan ada nilai dalam pasaran,” katanya yang dibantu empat pekerja.

Konsep baharu, buka peluang perniagan

Menerusi konsep tersebut, dia dan isteri tidak menyangka permintaan diterima amat menggalakkan.

“Konsep ini lain dari yang lain, di mana kami sediakan tempat untuk suami menikmati kopi premium yang dibancuh dan pelbagai jenis pemanis mulut pilihan sambil menunggu isteri membeli pokok. Jadi, tidaklah mereka bosan ketika menunggu.

“Pelanggan kami pula terdiri daripada anak muda yang gemar aktiviti memburu kopi dan kafe kami amat sesuai dijadikan sebagai tempat untuk ‘OOTD’ dan dipaparkan di media sosial yang dilihat membantu dari segi pemasaran produk,” katanya yang menjadikan Richiamo Coffee sebagai model perniagaan.

Dalam pada itu, meskipun ketika fasa peralihan kepada endemik dilihat membantu sektor ekonomi kembali rancak, jualan pokok secara dalam talian pula merudum sebanyak 70 peratus berikutan orang ramai sudah mula keluar bercuti dan kurang membeli secara dalam talian.

“Masa itu agak terkesan, namun kami bersyukur dengan adanya kedai fizikal. Ia sedikit sebanyak dapat menampung kembali jualan pokok tesebut. Alhamdulillah, pulangan yang diterima amat baik,” katanya.

Pasangan ini turut merancang mengeluarkan produk sendiri iaitu baja dan tanah untuk tanaman, selain menjual pasu bunga pelbagai saiz dan bentuk.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini