SEORANG individu tetapi memiliki sehingga tujuh personaliti berbeza. Demikian yang dialami oleh pesakit gangguan identiti disosiatif (DID).
DID merupakan penyakit kronik dan rumit yang melibatkan kekacauan memori autobiografi dan kesatuan identiti.
Pegawai psikologi, Shamshinar Ahmad Basir berkata, penyakit mental ini bagaimanapun kurang mendapat perhatian berbanding skizofrenia dan kemurungan.
Katanya, peralihan dan pertukaran personaliti atau alter-ego dalam DID lazimnya tidak berlaku dengan cara sukarela.
Malah, katanya, ia boleh berlaku pada bila-bila masa di luar kawalan individu.
Shamshinar berkata, penderaan fizikal dan seksual semasa zaman kanak-kanak merupakan antara punca seseorang mengalami penyakit mental berkenaan.
“DID juga boleh terbentuk hasil tindak balas terhadap bencana alam atau peristiwa yang menyebabkan trauma seperti peperangan,” katanya.
Ciri-ciri
* Seseorang yang menghidap kecelaruan ini mempunyai dua atau sehingga 10 personaliti berbeza.
* Identiti teras individu itu adalah personaliti biasanya.
* Pesakit memiliki jantina, etnik, minat dan cara berinteraksi dengan persekitaran yang berbeza-beza
Simptom
* Delusi
* Keresahan
* Kemurungan
* Hilang ingatan
* Disorientasi
* Penyalahgunaan dadah dan alkohol
* Berfikir untuk membunuh diri atau ingin mencederakan diri sendiri









