SECARA rasminya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diadakan pada 15 November ini. Dengan pengumuman ini, gabungan parti politik mula sibuk dengan rutin prapilihan raya seperti perbincangan dan rundingan terhadap agihan kerusi Parlimen dan penentuan calon.
Malah turut kedengaran desas-desus akan berlaku pertukaran kerusi, termasuklah kerusi tradisi untuk menjamin kemenangan parti masing-masing. Ketika ini juga, kerusi yang akan ditandingi oleh tokoh utama politik termasuk presiden parti menjadi tumpuan pemerhati politik dan orang awam.
Sehubungan ini, Parlimen Sungai Siput yang dianggap sebagai kerusi tradisi MIC juga menjadi tumpuan pemerhati politik. Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran dijangka turun ke gelanggang pada kali ini untuk merampas kerusi Sungai Siput yang telah ditawan PKR sejak PRU12.
Parlimen Sungai Siput mempunyai jumlah pemilih berdaftar sebanyak 72,361 dengan tambahan 17,359 pengundi baharu sehingga kini. Parlimen Sungai Siput adalah kerusi yang dipertandingkan oleh Presiden MIC sejak pilihan raya pertama, sebelum merdeka, iaitu 1955.
Meskipun kebanyakan kerusi Parlimen terdiri daripada pengundi Melayu pada ketika itu, calon Parti Perikatan berbangsa Cina dan India menang dengan mendapat undi yang banyak. Sebagai contoh, Tun V.T. Sambanthan yang bertanding di Kinta Utara (Sungai Siput), kawasan majoriti Melayu memperoleh kemenangan besar. Ketika itu, jumlah pengundi di Kinta Utara ialah seramai 12,483 pengundi. Daripada jumlah ini, pengundi India hanya 1,851, manakala pengundi Cina 2,581. Pengundi Melayu pula 8,051 orang. Namun, Sambanthan memperoleh 7,900 undi dan menang dengan majoriti 6,068. Sejak PRU pertama itu, kerusi Sungai Siput terus dimenangi oleh calon MIC sehingga PRU12.
Sejak pilihan raya pertama, kerusi parlimen itu ditawan oleh Parti Perikatan yang dikenali sebagai Barisan Nasional (BN) mulai 1974. Sambanthan (Presiden MIC) berjaya mengekalkan kerusi Sungai Siput sejak PRU pertama sehingga PRU ketiga pada 1969. Pada 1969, Sambanthan hanya memenangi kerusi dengan undi tipis berjumlah 146 kerana ketika itu negara bergelora dengan sentimen perkauman yang mencetuskan peristiwa 13 Mei.
Apabila Sambanthan berundur dari politik pada 1974, kerusi Sungai Siput ditandingi oleh Tun S. Samy Vellu yang menyandang jawatan Timbalan Presiden MIC ketika itu. Apabila Samy Velllu bertanding buat pertama kalinya di kerusi Sungai Siput pada 1974 dengan logo BN, beliau ditentang hebat oleh calon DAP, Patto Perumal. Namun, Samy Vellu berjaya menang dan mengekalkan kersusi dengan majoriti tipis, 644 undi.
Sokongan sebahagian besar pengundi Melayu pada ketika itu menyumbang kepada kemenangan Samy Vellu. Sejak itu, Samy Vellu terus bertanding di kerusi Sungai Siput selaku Presiden MIC dan berjaya mengekalkannya bagi sembilan penggal (PRU4-PRU11) berturut-turut dengan majoriti besar kecuali PRU8 pada 1990, di mana beliau menang majoriti tipis, 1,763 undi. Kemerosotan sokongan kepada BN pada kali ini pula dikaitkan dengan gelombang reformasi yang melanda medan politik negara pada ketika itu.
HINDRAF
Namun, Samy Vellu gagal mempertahankan kerusi Sungai Siput pada PRU12 (2008) kesan gelombang Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) dalam kalangan masyarakat India. Samy Vellu tewas di tangan calon PKR, Dr. Michael Jeyakumar dengan undi tipis, 1,821. Jeyakumar memperoleh 16,458 undi. Kekalahan Samy Vellu pada PRU12 dikaitkan dengan kemerosotan sokongan terhadap BN dalam kalangan sebahagian pengundi India.
Seterusnya, calon yang mewakili MIC (BN) gagal mempertahankan kerusi Sungai Siput pada PRU13 dan PRU14. Calon PKR menang dan mengekalkan Sungai Siput bagi tiga penggal, iaitu PRU12 sehingga PRU14. Pola pengundian Sungai Siput sejak PRU12 jelas menunjukkan meskipun pengundi Melayu terus bersama BN, pengundi India dilihat lebih mendekati PKR.
Namun demikian, sokongan terhadap PKR dalam kalangan pengundi India secara khususnya kelihatan semakin merosot sejak Vigneswaran mengumumkan MIC akan mempertingkatkan usaha untuk merampas kembali kerusi Sungai Siput. Memandangkan Sungai Siput adalah kerusi tradisi Presiden MIC, maka kepimpinan BN membuat keputusan membenarkan Presiden MIC bertanding pada PRU15.
Persoalannya, mampukah MIC merampas semula Sungai Siput daripada PKR yang sudah bertapak di situ sejak 2008? Sejak Vigneswaran mengambil alih kepimpinan MIC pada 2018, parti itu semakin bangkit daripada kelesuan, kesan kekalahan teruk sejak PRU12. Sebahagian besar masyarakat India terutamanya gologan muda didapati kembali menyokong kepimpinan baharu MIC. Malah keprihatinan kepimpinan MIC terhadap kebajikan masyarakat India didapati semakin hari dapat mempertingkatkan sokongan kaum itu kepada MIC.
Malah, keprihatinan Vigneswaran dalam menyelesaikan permasalahan masyarakat India secara amnya dan pelbagai komuniti khususnya didapati memikat hati sebahagian besar pengundi merentasi kaum di Sungai Siput. Aktiviti kemasyarakatan menyantuni masyarakat akar umbi kebelakangan ini bukan sahaja meraih sokongan sebahagian besar pengundi malah menggoncang kekuatan PKR.
Dengan pertambahan lebih daripada 4,500 pengundi baharu India yang kebanyakannya menyokong MIC, Vigneswaran dijangka bukan sahaja mampu menghadapi sebarang tentangan daripada pihak lawan sama ada daripada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) tetapi juga mampu menawan semula kerusi Parlimen Sungai Siput pada kali ini, bagai sirih pulang ke gagangnya.-UTUSAN
DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosial & politik.











