PETALING JAYA: Sudah tiba masanya kerajaan mempertimbang untuk mengembalikan sebahagian daripada jumlah wang caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada pekerja yang mencapai usia persaraan dan tidak pernah buat tuntutan.
Cadangan tersebut boleh dikaji apabila pendapatan caruman Perkeso pada 2019 berjumlah sehingga RM4.7 bilion, selain geran peruntukan Sistem Insurans Pekerjaan RM60.21 juta dan pendapatan pelaburan kasar sehingga RM1.2 bilion.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, Perkeso mungkin boleh mempertimbangkan pulangan wang caruman sehingga 20 peratus kepada pencarum yang tidak pernah membuat tuntutan.
Menurut beliau, langkah itu wajar sebagai penghargaan kepada pekerja yang tidak menuntut sebarang faedah dalam tempoh mereka bekerja tetapi mencarum.
“Isu ini kita pernah bawa pada 2020 tetapi Perkeso pada masa itu maklumkan yang mereka bukan berkonsepkan seperti insurans, tetapi berkonsepkan ‘sistem pekerja tolong pekerja’.
“Jadi maknanya caruman mereka yang tidak menuntut itu akan membantu pekerja yang ada masalah walaupun bayarannya sikit, tetapi faedahnya besar apabila berlaku musibah.
“Kita memahami, tetapi caruman walaupun hanya RM20 atau RM30 sebulan itu tetap dianggap besar bagi pekerja bawahan. Ini pekerja yang tidak tuntut apa-apa daripada masuk kerja sehingga bertahun-tahun, tetapi setakat ini Perkeso belum ada tanda-tanda penghargaan langsung,” kata beliau mengulas mengenai tuntutan.
KAJIAN
Menurut beliau, sebelum membuat keputusan kerajaan perlu ada kajian dan mungkin memberi pulangan antara 10 atau 20 peratus daripada kadar caruman.
Kadar Caruman Akta Keselamatan Sosial Pekerja (Akta 4) membabitkan caruman Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan secara bulanan.
Kadar caruman Perkeso ketika ini ialah 0.2 peratus syer majikan manakala 0.2 peratus syer pekerja.
Kamarul Baharin berkata, langkah bayaran kembali duit caruman itu juga boleh dijadikan antara inisiatif untuk kerajaan memulakan sistem pencen kepada pekerja swasta.
Katanya, ini kerana pekerja swasta yang tidak menuntut berkemungkinan boleh dipertimbang mendapat pencen melalui kadar caruman tersebut.
Sementara itu, pakar ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, pulangan caruman yang tidak menuntut sebarang faedah boleh dipertimbang sekiranya konsep Perkeso ditukar kepada pelan wakaf atau endowment plan.
Beliau berkata, ini kerana perlindungan Perkeso adalah satu perlindungan berkumpulan yang digunakan untuk menampung pampasan kepada orang lain.
“Kita boleh ubah kepada endowment plan iaitu yang melindungi nyawa dan membayar balik jumlah dilabur serta keuntungan, tetapi kesannya adalah jumlah bayaran mungkin perlu lebih tinggi setiap bulan, manakala jumlah perlindungan mungkin agak terhad,” katanya.
ISU
Beliau menambah, kadar caruman yang tidak dituntut bagaimanapun tidak perlu dijadikan isu kerana bayaran bulanan yang menyumbang secara bersama itu merupakan satu ibadah untuk hari akhirat kelak.
“Malah, sebenarnya konsep ini yang kita perlukan dalam jangka panjang. Kita perlukan skim sumbangan seperti ini yang boleh melindungi satu sama lain dan apabila melabur dianggap sebagai pelaburan akhirat,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan City University Malaysia, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, Perkeso perlu mempunyai elemen simpanan sekiranya ingin mengetengahkan tuntutan semula kadar caruman.
Sehubungan itu, katanya, mana-mana pencarum yang tidak menuntut perlu berlapang dada kerana mereka tetap membantu satu sama lain.
“Selama ini Perkeso mengeluarkan banyak bantuan sama ada (pampasan) kemalangan jalan raya, kemalangan di tempat kerja dan kebanyakan kes itu memperoleh pencen ilat.
“Jadi bagi saya konsep Perkeso ini sememangnya bagus untuk diteruskan dan (caruman individu yang tidak menuntut) tak perlu (dipulang), anggap sebagai membeli takaful dan bukannya simpanan.
“Kalau sudah kemalangan sehingga tak boleh kerja, syarikat mungkin bayar pampasan untuk sebulan atau dua bulan gaji sahaja, tetapi dengan adanya caruman Perkeso, kita bayar murah namun dapat manfaat besar dan ini sangat membantu mereka yang alami kesukaran,” katanya. – UTUSAN










