PETALING JAYA: Situasi 9 Mei 2018 di mana pembentukan kerajaan lambat dibuat boleh berulang semula jika tiada satu pun parti mendapat majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Meskipun Yang di-Pertuan Agong memiliki budi bicara melantik Perdana Menteri pada hemat Seri Paduka mendapat kepercayaan majoriti Dewan Rakyat selepas keputusan pilihan raya umum (PRU) berdasarkan Perkara 40 (2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan termasuk jika tiada parti memperoleh 111 kerusi, keadaan itu masih belum tentu menjamin kestabilan kerajaan.
Hal ini kerana keabsahan kerajaan boleh dicabar menerusi usul undi percaya Perdana Menteri di Dewan Rakyat dan beliau perlu meletak jawatan sekiranya gagal mendapat sokongan majoriti wakil rakyat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, hanya SPR yang menentukan parti manakah yang memenangi PRU selepas selesai pengiraan dilakukan dan proses itu tidak memerlukan tempoh lama dan pada lazimnya diumumkan pada hari malam keputusan PRU.
Menurut beliau, keputusan SPR akan diserahkan kepada Istana Negara untuk dipersembah maklum kepada Seri Paduka sejurus selepas keputusan PRU diumumkan.
“Tiada tempoh tertentu dalam perkara ini, sebaliknya hendak disegerakan selepas pengiraan semua 222 Parlimen selesai,” katanya di sini semalam.
Bagaimanapun jelas beliau, keputusan penuh PRU14 tidak dibuat pada malam 9 Mei apabila tiada parti memperoleh majoriti mudah sekali gus perkara itu terserah kepada kebijaksanaan Seri Paduka untuk melantik Perdana Menteri yang pada hematnya mendapat kepercayaan ahli Dewan Rakyat.
Katanya, tugas SPR adalah menguruskan pilihan raya sehingga pengumuman manakala pembentukan kerajaan terletak di bawah Yang di-Pertuan Agong.
“Tugas SPR bermula hari pembubaran sehingga hari keputusan pilihan raya. Soal pembentukan kerajaan terserah kepada Seri Paduka di samping parti-parti berkenaan mewujudkan kerjasama untuk memilih Perdana Menteri.
“Ikutkan proses pilihan raya adalah mudah, cumanya nanti apabila berlaku tiada parti mendapat majoriti mudah dan ini menyebabkan pengumuman PRU lambat diumumkan seperti mana PRU14,” katanya.
Pada PRU14, pembentukan kerajaan campuran antara PH bersama Parti Warisan Sabah (Warisan) terpaksa diwujudkan sehingga Perdana Menteri dilantik selepas sehari keputusan PRU yang lazimnya dibuat pada malam keputusan PRU.
Dalam pada itu, Pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, terserah kepada Seri Paduka untuk membuat sebarang penilaian melantik Perdana Menteri kerana tiada peruntukan dalam memperincikan berhubung perkara itu.
Katanya, Seri Paduka boleh memanggil Pengerusi SPR untuk dipersembah maklum berhubung parti mana yang menguasai Dewan Rakyat atau ketua parti yang memiliki anggota ahli Parlimen teramai.
“Perkataan pada hematnya dalam Perkara 43 (2)(a) itu tiada perincian dijelaskan dan terserah kepada Seri Paduka untuk menentukannya. Selain itu, tiada keperluan untuk Seri Paduka berbuat demikian, tetapi demi memuaskan hati, Yang di-Pertuan Agong boleh membuat sebarang penilaian untuk melantik Perdana Menteri yang pada hemat mendapat kepercayaan Dewan Rakyat,” katanya.
Jelas Wan Ahmad Fauzi, walaupun tiada tempoh tertentu terhadap pelantikan kerajaan, ia perlu disegerakan memandangkan Perlembagaan memperuntukkan Dewan Rakyat perlu bersidang dalam tempoh 120 hari selepas hari pembubaran.
Sementara itu, beliau menegaskan terhadap keperluan satu parti yang memiliki kemenangan dominan selepas PRU15 demi menjamin kestabilan politik tanpa membentuk kerajaan atas belas ihsan pihak lawan menerusi pemeteraian Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA).
“Meskipun dari sudut demokrasi dibenarkan, perkara ini menghakis usaha kerajaan untuk melaksanakan dasarnya sendiri kerana bimbang ditolak rakan CSA dalam Dewan Rakyat seperti kelulusan Rang Undang-Undang,” katanya. – UTUSAN










