Search pertahan standard - Utusan Malaysia

Search pertahan standard

SEARCH meletakkan sasaran kehadiran penonton lebih tinggi untuk dua konsert akan datang di Pulau Pinang dan Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BIARPUN kumpulan rock legenda ini sudah terpecah dua, itu bukan halangan buat mereka meneruskan konsert.

Perpecahan ini pernah mencetuskan ‘perang’ dalam kalangan anggota Search dan peminat di media sosial, namun setidak-tidaknya kembara mereka masih tetap berjalan.

Biarpun ada yang melabelkan Konsert Search Rockin’ On Rooftop di bumbung Kompleks Campbell, Jun lalu sebagai konsert marhaen, ia tidak mematahkan semangat pejuang genre rock itu untuk meneruskan perjuangan muzik mereka.

Pemain gitar kumpulan Search, Noordin enggan mengambil pusing masalah lalu. Mereka sebaliknya hanya mahu menumpukan fokus pada konsert seterusnya yang menyasarkan kehadiran 6,000 penonton apabila dianjurkan di lokasi lebih besar dan bersesuaian.

“Selepas rooftop, kami berehat selama tiga bulan untuk membuat perancangan lebih teliti, termasuk pemilihan lokasi.

“Untuk pilih lokasi juga ambil masa kerana kami putuskan menganjurkan konsert di tempat tertutup kerana bimbang jika di luar hujan,” katanya.

Penganjuran Search: Live in Concert – Rockin’ Arena 2022 akan diteruskan di Spice Arena, Bayan Baru, Pulau Pinang pada 24 Disember depan.

Ia disusuli pusat beli belah Aeon Mall, Bandar Dato Onn, Johor Bahru yang dijadualkan pada 28 Januari tahun depan.

Selain Noordin, Search turut dianggotai Denden Gonjalez (penyanyi), Kid (gitar), Yan (bass) dan Minn (dram) serta pemain keyboard undangan, Firdaus.

Dalam pada itu, Noordin berkata, terdapat penambahbaikan dilakukan sebagai persiapan awal, termasuk pengurusan produksi.

“Saya sudah tetapkan untuk mengekalkan pasukan produksi sama supaya standard Search terjaga. Selain itu, spesifikasi peralatan muzik dan sistem bunyi juga mesti mempunyai kualiti yang sama atau lebih baik lagi.

“Kami menitikberatkan piawaian ini selaras dengan nama Search yang cukup berpengaruh selama empat dekad dalam industri muzik,” katanya.

Walaupun anggaran penganjuran konsert mencecah jutaan ringgit, Nordin bersyukur kerana mendapat banyak tajaan dan pihak yang berminat membawa ‘jenama’ mereka di Pulau Pinang dan Johor Bahru.

“Ada beza konsert di Pulau Pinang dan Johor Bahru nanti. Itu perkara yang kami janjikan menerusi persembahan dengan lebih 20 lagu,” kongsinya.

Harga tiket bagi dua konsert ini adalah RM268 dan RM148 serta mula dijual minggu depan.

Pembelian boleh dibuat secara dalam talian atau fizikal di kedai Search Rock Station di Kompleks Campbell, Kuala Lumpur.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×