Bermula dengan hanya sekadar mengisi waktu lapang pada musim cuti persekolahan dengan bermain badminton telah menjentik minat bintang badminton negara, Lee Zii Jia dalam sukan berkenaan.
Juara perseorangan lelaki di Sukan Asia Tenggara 2019 itu berkata, ibu bapanya sering membawanya bersama rakan-rakan ke gelanggang badminton.
Dari situ dia mula berlatih dan berusaha untuk menjadi mahir dalam bidang berkenaan sehingga menjadikannya dirinya antara ikon badminton tersohor tanah air.
Berpeluang menemu bual figura itu baru-baru ini, pemain perseorangan lelaki Malaysia itu berkata, kejayaannya dalam sukan yang diceburi bukanlah dicapai seorang diri, bahkan ia juga hasil daripada sokongan tidak berbelah-bahagi daripada ahli keluarganya.
Kongsinya, selain berusaha bersungguh-sungguh dan memiliki azam yang kuat, kewujudan sistem sokongan daripada ahli keluarga juga sangat membantu dirinya untuk lebih bermotivasi untuk memenangi satu-satu pertandingan yang disertainya.
“Keluarga sentiasa menyokong saya dalam bidang sukan badminton sejak saya bermula. Mereka sentiasa berada di sisi untuk meyakinkan bahawa saya berbakat dalam apa saja yang dilakukan dan juga setiap pertandingan yang saya sertai.
“Kepercayaan mereka itulah yang memberikan saya motivasi untuk menjadi yang terbaik dalam sukan ini.
“Saya sentiasa bersyukur atas sokongan keluarga saya yang tidak berbelah bahagi mendorong saya beraksi lebih baik dalam setiap pertandingan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Antara pencapaian terbaik anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu adalah memenangi Seluruh England 2021.
Beliau juga merupakan sebahagian daripada skuad kebangsaan Malaysia yang meraih emas di Kejohanan Berpasukan Asia 2022 dan gangsa di Piala Sudirman 2021.
Rahsia kejayaan
Bercerita lanjut, anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, keinginan untuk membanggakan keluarga juga menjadi motivasi terbesar buat dirinya dalam menghadapi setiap perlawanan.
Selain itu, antara rahsia kejayaannya juga adalah sering memikirkan penambahbaikan yang dapat dilakukan bagi meningkatkan kebolehan dirinya.
“Saya sentiasa memikirkan bagaimana untuk memperbaiki lagi permainan saya dengan setiap pertandingan dan perlawanan yang disertai.
“Begitupun, apa yang saya dapati, ketabahan memainkan peranan penting dalam mana-mana kerjaya. Selagi anda melakukan yang terbaik dan terus berusaha, anda akan melihat hasilnya,” katanya.
Seimbangkan kerjaya, sosial
Mengakui masa lapangnya semakin terhad sejak bergelar seorang pemain profesional, Zii Jia berkata, bagaimanapun dia berusaha sedaya-upaya untuk mengimbangi antara kerjaya dan kehidupan sosial.
“Sejujurnya saya cakap, ia sudah semakin sukar sebab saya sentiasa berlatih untuk pertandingan akan datang, atau sibuk sedang bertanding dalam perlawanan.
“Tapi saya juga cuba mencari keseimbangan dan masa untuk bertemu dengan kawan-kawan saya. Mereka sentiasa mengingatkan saya supaya tidak bongkak, dan beritahu saya yang apa yang saya lakukan itu berbaloi,” katanya.
Mengenai perancangan masa depan, duta LG PuriCare berkata, dia masih perlu bekerja keras dan melakukan persiapan yang lebih untuk mengkukuhkan pretasi bagi menghadapi pertemuan akan datang.











