PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti (SC) menandatangani Memorandum Persefahaman Pelbagai Hala untuk Kerjasama Penyeliaan (MMoU Penyeliaan) Jawatankuasa Serantau Asia Pasifik (APRC) IOSCO pada Mesyuarat Tahunan Pertubuhan Suruhanjaya Sekuriti Antarabangsa (IOSCO) 2022 di Maghribi, kelmarin.
Berikutan aktiviti rentas sempadan dalam pasaran modal yang semakin meningkat di rantau ini, MMoU Penyeliaan ini buat pertama kalinya mewujudkan rangka kerja rasmi untuk kerjasama penyeliaan serantau dalam kalangan pengawal selia pasaran modal.
Dengan itu, SC kini mempunyai pengaturan kerjasama mengenai hal-hal penyeliaan dengan rakan pengawal selia serantau termasuk Australia, Hong Kong, Jepun, Singapura dan Thailand.
Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, kerjasama penyeliaan rentas sempadan adalah elemen utama untuk meningkatkan perlindungan pelabur.
“Perkongsian maklumat dengan pengawal selia serantau melalui platform ini akan mengukuhkan keupayaan penyeliaan keseluruhan SC. Syabas kepada APRC atas kepimpinan kolaboratif yang ditunjukkan dalam inisiatif ini,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengerusi APRC, Takashi Nagaoka berkata, ia adalah peristiwa penting yang akan meningkatkan kerjasama dan penyelarasan pengawal selia merentasi sempadan.
Selain itu, SC juga telah dilantik semula sebagai Ahli Lembaga IOSCO, badan pentadbir dan penetapan piawai yang bertanggungjawab mengetuai hala tuju dan proses penetapan piawaian mengenai isu dasar yang mempengaruhi pasaran modal global untuk penggal 2022-2024. SC telah menjadi ahli Lembaga IOSCO sejak 2012.
Pengawal selia sekuriti global telah bertemu di Mesyuarat Tahunan IOSCO dan membincangkan kesan perkembangan antarabangsa semasa dalam sektor kewangan, termasuk risiko dan cabaran kepada pasaran modal.
Barisan perwakilan telah berkongsi pandangan tentang pelbagai topik termasuk aset kripto dan digital, kewangan mampan, risiko baru dan tingkah laku pasaran runcit. – UTUSAN










