Pemimpin lama masih relevankah pada PRU15?

Pemimpin lama masih relevankah pada PRU15?

Dari kiri: DR. MAHATHIR MOHAMAD, TENGKU RAZALEIGH HAMZAH, WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR dan MUSTAPA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketika ada pe­ngundi menuntut supaya muka baharu dan segar diketengahkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), beberapa tokoh yang sudah melangkaui usia ‘emas’ lama berkhidmat dan masih berminat untuk bertanding.

Ada calon lama yang dianggap masih relevan seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad (97 tahun), Datuk Seri Anwar Ibrahim (75), Tan Sri Muhyiddin Yassin (75) dan Tan Sri Abdul Hadi Awang (74) kerana mereka dianggap sebagai peneraju parti dan masih boleh mentadbir negara.

Ada juga yang sudah meng­umum mahu mengundur diri seperti Lim Kit Siang (81 tahun), Tan Sri Shahrir Abdul Samad (72 tahun) dan Datuk Seri Ahmad Hamzah (74 tahun) namun masih ada yang mahu bertan­ding pada pilihan raya kali ini.

TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD

Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi calon tertua dalam sejarah politik Malaysia apabila bakal bertanding di kerusi Parlimen Langkawi pada usia 97 tahun.

Beliau juga menjadi satu-satunya calon yang pernah memimpin tiga gabungan politik berbeza dalam PRU iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan kini Gerakan Tanah Air (GTA).

Walaupun ada segelintir pi­hak yang memintanya supaya bersara daripada dunia politik, beliau masih mendapat soko­ngan daripada pelbagai pihak terutama menerusi GTA yang dibentuk oleh empat parti terdiri daripada Pejuang, Berjasa, Putra dan Iman.

Malah, beliau sendiri terbuka jika dipilih sebagai Perdana Menteri buat kali ketiga selepas kali pertama memegang jawatan itu selama 22 tahun sejak 1981 dan kali kedua pada 2018 selama 22 bulan.

TENGKU RAZALEIGH HAMZAH (KU LI)

Jika dipilih oleh UMNO sebagai calon sekali lagi, Tengku Razaleigh Hamzah akan bertan­ding di kerusi Parlimen Gua Musang buat kali ke-10, kerusi yang ditandinginya sejak 1986 pada usia 85 tahun.

Pemimpin veteran UMNO itu juga dikatakan sudah tidak relevan untuk menjadi calon PRU15, namun beliau masih mempunyai sokongan kuat daripada pe­ngundi di Gua Musang.

Bagaimanapun, dalam PRU14 yang lalu, beliau ‘diselamatkan’ oleh undi pecah apabila memperoleh 19,426 undi dengan majoriti 3,913 berbanding calon Pas, Abdullah Hussein yang meraih 15,513 undi dan calon Bersatu, Mohd. Nor Hussin yang meraih 4,997 undi.

TAJUDDIN ABDUL RAHMAN

Dikenali sebagai pemimpin yang lantang, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman juga disebut-sebut akan mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Salak yang ditandinginya sejak 2008 pada usia 74 tahun.

Namun, kedudukannya seba­gai calon diragui apabila digantung sebagai ahli UMNO selama enam tahun awal bulan ini dipercayai ekoran kritikannya terhadap kepemimpinan parti selain digugur sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Ini sekali gus menimbulkan tanda tanya sama ada beliau masih layak untuk dipilih sebagai calon PRU15. Malah, dalam keputusan PRU14 lalu, Tajuddin juga bernasib baik apabila berlaku undi pecah, meraih 20,003 undi dengan majoriti 7,712 berbanding calon Bersatu, Salihuddin Radin Sumadi (12,291) dan calon Pas, Zafarulazhan Zan (11,151).

TENGKU ADNAN TENGKU MANSOR (KU NAN)

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor akan bertanding di Parlimen Putrajaya buat kali kelima jika dipilih sebagai calon pada usia 72 tahun.

Beliau juga dikatakan sudah tidak lagi relevan walaupun bebas daripada tuduhan rasuah, namun beliau masih lagi disukai oleh majoriti pengundi Putrajaya.

Bagaimanapun, dalam keputusan PRU14 lalu, beliau turut berdepan dengan undi pecah apabila meraih 12,148 undi dengan majoriti 3,372 berbanding calon Bersatu, Samsu Adabi Mamat (8,776) dan calon Pas, Zainal Abidin Kidam (3,634).

SHAHIDAN KASSIM

Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim akan bertanding buat kali kelima di Parlimen Arau di usia 71 tahun.

Beliau tidak berdepan masa­lah untuk mempertahankan ke­rusinya kerana disenangi oleh para pengundi di kawasannya namun beliau dikatakan tidak sebulu dengan pucuk pimpinan parti sehingga kedudukannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis digantikan oleh Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.

Namun, seperti calon-calon emas lain, keputusan PRU14 lalu menyaksikan Shahidan mera­ih 16,547 undi dengan majoriti 4,856 berbanding undi pecah yang berlaku antara calon Bersatu, Abd. Rahman Daud (11,691) dan calon Pas, Hashim Jasin (11,362).

IBRAHIM ALI

Veteran dalam dunia politik, Datuk Dr. Ibrahim Ali yang berusia 71 tahun dijangka bertanding sekali lagi di Parlimen Pasir Mas, kerusi ditandingi sejak 1986.

Namun, pada PRU14, beliau tewas dengan hanya meraih 5,373 undi serta tewas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tendong dengan 1,479 undi, sekali gus menunjukkan bahawa beliau tidak lagi relevan dalam politik tanah air.

Namun, beliau akan mencuba nasib sekali lagi apabila bertan­ding pertama kali selaku Pre­siden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) di bawah nau­ngan gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) yang diterajui oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

AZMI KHALID

Tan Sri Azmi Khalid akan menjadi antara calon tertua dalam PRU15 jika dipilih oleh Bersatu pada usia 82 tahun.

Bekas Menteri Luar Bandar dan Menteri Dalam Negeri itu menyandang kerusi Parlimen Padang Besar selama empat penggal dengan kali terakhir memenangi kerusi tersebut pada 2008.

Jika terpilih, beliau kemungkinan akan berdepan dengan penyandang kerusi, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang hanya meraih majoriti 1,438 pada PRU14 lalu.

RADZI SHEIKH AHMAD

Tan Sri Mohd. Radzi Sheikh Ahmad juga akan menjadi antara calon tertua PRU15 apabila dikatakan bertanding semula di Ka­ngar mewakili Bersatu pada usia 80 tahun.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri itu pernah menyandang Parlimen Kangar sebagai calon UMNO sebanyak empat kali de­ngan kali terakhir pada 2008.

Jika terpilih, beliau kemungkinan tidak berdepan masalah untuk merampas semula kerusi Kangar yang kini disandang oleh Noor Amin Ahmad dari PKR.

MUSTAPA MOHAMED (TOK PA)

Antara veteran dalam politik tanah air, Datuk Seri Mustapa Mohamed dijangka mempertahankan kerusi Jeli pada usia 72 tahun dalam PRU15.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) itu menyandang kerusi Jeli selaku calon UMNO sebanyak empat kali selain kerusi DUN Air Lanas seba­nyak tiga kali berturut-turut.

Namun, beliau berdepan cabaran baharu apabila pertama kali bertanding di Jeli sebagai calon Bersatu, tanpa sokongan akar umbi UMNO.

WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR

Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar juga merupakan salah seorang veteran dalam politik dan kini mencecah usia 77 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu menyandang kerusi Santubong selama empat penggal dengan majoriti yang besar setiap kali pilihan raya umum, menunjukkan beliau sering mendapat sokongan padu daripada pengundi di Sarawak.

Namun, di usia yang lanjut itu, ia menimbulkan tanda tanya sama ada beliau akan terus mempertahankan kerusinya kerana beliau akan menjadi antara calon tertua dalam PRU15 jika dipilih oleh partinya, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×