KUALA LUMPUR: Pemasangan sistem solar photovoltaic (PV) di atas bumbung Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) mampu menjimatkan sehingga 30 peratus penggunaan elektrik dibangunan berkenaan.
Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim berkata, sistem solar PV berbumbung 501 kilowatt puncak (kWp) berkenaan mampu menjimatkan kos tenaga elektrik antara RM100,000 hingga RM120,000 sebulan.
Jelasnya, projek pembiayaan teknologi hijau yang merupakan usahasama antara ITRAMAS Corporation Sdn. Bhd. (ITRAMAS) and Burj Energy International Management Limited, UAE (Burj) tersebut juga mampu mengurangkan penggunaan karbon dioksida sebanyak 500 metrik tan setahun.
“Selaras dengan kehendak kerajaan, kita (WTCKL) hendak mengurangkan penggunaan karbon dioksida di mana ini sangat penting lebih-lebih lagi WTCKL merupakan antara pusat perdagangan dunia yang menjalankan aktiviti konvensyen dan pameran.
“Kerjasama ini juga amat penting dalam memastikan Burj-ITRAMAS meyakini kemampuan WTCKL dalam memastikan penggunaan teknologi hijau sebagai fokus utama kami dalam industri pengacaraan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir pada Majlis Pelancaran Platform Pembiayaan Tenaga Hijau dan Pembangunan Bersama Projek WTCKL antara Burj dan INTRAMAS di Tanjung Lounge, WTCKL di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Irmohizam berkata, WTCKL turut berbanga menjadi pusat dagangan dunia pertama yang dikuasakan oleh tenaga hijau dengan beberapa faedah antaranya pengurangan pelepasan karbon, perbelanjaan tenaga yang lebih murah dan kebarangkalian pemasaran yang lebih besar.
“Kolaborasi industri adalah satu-satunya strategi yang boleh membantu kita maju dan WTCKL menjemput pemain industri lain untuk melanggan platform hebat ini di mana saya benar-benar percaya bahawa pasukan Burj-ITRAMAS boleh membawa gerakan mampan ini ke tahap yang lebih tinggi untuk manfaat semua,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif INTRAMAS, Lee Choo Boo berkata,pihaknya berbesar hati dengan penyertaan Burj melibatkan komitmen jangka panjang dalam mengurangkan kesan karbon, bermula dari Malaysia.
“ITRAMAS sangat teruja untuk meneruskan sumbangan kami kepada peralihan Tenaga Hijau Malaysia dan terus merealisasikan cita-cita hijau kami,” katanya. – UTUSAN










