PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah menggantung Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal milik Pengarah Eksekutif dan Pengurus Dana Inter-Pacific Asset Management Sdn. Bhd. (IPAM) Datuk Nazri Khan Adam Khan untuk tempoh enam bulan berkuat kuasa sejak 6 Oktober lalu.
Pihak pengurusan IPAM berkata, mereka sedang membuat rayuan susulan penggantungan itu selain menegaskan penggantungan adalah disebabkan pelanggaran pentadbiran dan bukannya mengenai pengurusan dana.
Menurutnya, IPAM mempunyai rekod prestasi yang kukuh dalam dana unit amanah dan pengurusan portfolio sejak lebih 30 tahun lalu dengan dikawal peraturan dan kawal selia ketat yang ditentukan SC.
“Yakinlah bahawa pelaburan anda diuruskan dengan selamat dan dikendalikan secara profesional oleh pasukan profesional pelaburan kami yang berkelayakan tinggi di IPAM.
“Ini adalah komitmen dan keutamaan kami untuk menguruskan pelaburan anda dengan bijak dan mencapai matlamat idaman anda,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, tersebar di media sosial mengenai carian di laman web SC yang menyatakan lesen DDNK digantung selama enam bulan berkuat kuasa 6 Oktober lalu.
Isu yang berlaku jelas menimbulkan pelbagai respon dalam kalangan netizen mengetahui beliau sebagai pakar saham popular negara serta sering mempromosikan mudahnya buat duit dengan saham menerusi saluran radio.
Setakat ini, isu lesen DDNK digantung masih belum menerima sebarang respon oleh DDNK sendiri menerusi laman Facebook atau Instagram. – UTUSAN










