Kali ini saya akan tunjukan macam mana cara pencahayaan studio yang ringkas dan mudah bagi mereka yang baru aktif dalam sesi fotografi potret studio.
Kita hendaklah berani mencuba menggunakan lighting yang ada bagi mendapatkan efek berbeza tanpa melanggar hukum asas dalam fotografi studio.
Sebagai jurufoto studio, anda perlu tahu jenis-jenis lampu yang digunakan. Bagaimana menggunakan softbox, reflector dan penggunaan umbrella. Untuk rujukan, saya sediakan diagram ringkas susun atur lighting dan gambar potret yang dihasilkan.
A. Penggunaan satu softbox dan satu lampu latar belakang.
Saya gemar menggunakan satu lampu softbox (45’ ke bawah) diletak tepat atas posisi kamera. Cahaya akan lembut jatuh atas muka subjek. Penggunaan softbox mampu mengelak tompokan cahaya yang keras di bahagian dahi subjek. Penggunaan softbox amat penting terutama jika subjek kita jenis muka berminyak. Akan ada efek bayang terbentuk dibawah dagu subjek, bagi mengatasi masalah ini, anda boleh letak reflector putih di bawah sudut kamera anda.

B. Jika anda memiliki lampu studio yang banyak, saya sarankan menggunakan satu lagi softbox diletak tepat di bawah sudut kamera anda (lihat diagram). Ianya bertujuan untuk menghilangkan bayang dibawah dagu model anda. Tapi awas, anda hendaklah mengawal jumlah cahaya supaya ianya sekata. Sebagai contoh jika kekuatan softbox sebelah atas pada bacaan f11, pastikan softbox bahagian bawah sekitar f8 bagi mendapatkan nisbah yang betul.

C. Susun atur yang ketiga, kita gunakan efek lampu yang agak keras. Saya menggunakan lampu secara terus kemuka subjek. Efek ini lebih sesuai bagi mereka yang ingin menonjolkan teknik mekap. Menggunakan standard reflector agar cahaya akan tertumpu ke muka subjek. Satu kekurangan setup lampu ini ialah bayang yang agak keras di bahagian bawah dagu.











