PETALING JAYA: Pulau Langkawi telah diundi sebagai Pulau Keempat Terbaik Untuk Dilawati Di Asia pada tahun ini menerusi Condé Nast Traveler Readers’ Choice Awards 2022.
Langkawi mengatasi banyak destinasi terkenal lain termasuk Phuket (Thailand), Phú Quốc (Vietnam), Palawan (Filipina), Okinawa dan Kepulauan Ryuku (Jepun) serta Kepulauan Phi Phi (Thailand).
Selain itu, tiga daripada pusat peranginan di pulau itu iaitu Four Seasons Resort Langkawi, The Datai Langkawi dan The St. Regis Langkawi telah diundi sebagai 20 Resort Terbaik di Asia.
Mengulas pencapaian itu, Ketua Eksekutif Pegawai Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, anugerah itu membuktikan usaha LADA dalam meletak dan mempromosikan Pulau Langkawi sebagai destinasi pelancongan paling gemar dilawati di dunia membuahkan hasil.
“Selain itu, kami juga amat berbesar hati untuk berkongsi bahawa kami telah diundi oleh lebih seperempat juta pembaca,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, amat mengharukan apabila mengetahui bahawa Permata Kedah itu dihargai oleh pelancong dari seluruh dunia dan pihaknya akan terus memberikan yang terbaik bagi memastikan Langkawi antara peneraju dalam industri pelancongan antarabangsa.
“Kami yakin pulau ini mempunyai potensi yang besar untuk membezakan kita daripada negara lain, terutamanya dengan kepelbagaian tarikan pelancong seperti geopark tersenarai UNESCO pertama di Asia Tenggara dan kereta kabel paling curam di dunia dengan landskap pergunungan yang menakjubkan dan laut yang jernih,” ujarnya.
Langkawi, kepulauan 99 pulau di Laut Andaman terkenal dengan pelancongan yang kaya dan pelbagai tempat menarik untuk dilawati.
Berehat di tiga hotel kelas dunia yang disenaraikan dalam Condé Nast Traveler – The Four Seasons Hotel Langkawi di tempat ke-6, manakala The Datai Langkawi (ke-10) dan The St Regis Langkawi berjaya mengumpul hatrik untuk Langkawi.
Condé Nast Traveler ialah satu-satunya penerbitan perjalanan mewah bulanan yang diterbitkan di seluruh dunia, dengan sembilan edisi, dan penerbitan pertama dikeluarkan 30 tahun lalu.
Ia adalah sumber untuk pengembara arif yang mencari perjalanan yang unik, mewah dan pengalaman tidak dapat dilupakan. – UTUSAN










