Apakah Itu Core Web Vitals?

Apakah Itu Core Web Vitals?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram


Baru hari ini saya mampu habiskan penulisan artikel ini, hampir tiga hari juga dibuatnya. Sumber utama penulisan ini saya petik daripada penulisan Zach Williams, seorang pemilik agensi pemasaran digital yang berpusat di Virginia, Amerika Syarikat.

Konteks penulisan Zach ini sangat menarik pada saya kerana berkaitan dengan pengoptimuman enjin pencarian atau SEO.

Menurut Zach, pada tahun 2021, Google telah memperbaharui algoritma enjin pencarian mereka secara besar-besaran. Apakah yang telah diubah? Cara mereka membuat paparan kedudukan ranking sesebuah laman web. Setiap pemilik laman web perlu ambil tahu tentang hal ini sekiranya mereka mahukan kedudukan laman web mereka mempunyai ranking yang lebih baik di Google.

Core Web Vitals secara ringkasnya adalah satu set metriks yang direka bentuk oleh Google untuk mengukur dan mengira tahap kualiti sesebuah laman web dari aspek kelancaran pengguna menggunakannya. Dan pengalaman pengguna ini akan dikira berpandukan tiga komponen penting iaitu,
1. Kelajuan paparan kandungan utama pada muka surat dalam laman web
2. Kadar interaktif
3. Kestabilan paparan visual

Kita semua tahu yang Google sentiasa mengemaskini setiap algoritma mereka dari masa ke semasa. Tetapi kali ini perubahan yang dilakukan sangat ketara kerana mereka menganalisa faktor luar selain kualiti kandungan. Kini mereka mahu mengukur dengan lebih mendalam kualiti laman web juga.

Kini, penilaian ini akan ditambah lagi dengan menggunapakai elemen Core Web Vitals dengan menyeluruh di dalam algoritma baharu. Tanpa elemen pengukuran asas dan juga elemen Core Web Vitals baharu, mana-mana laman web yang gagal memenuhi kriteria ini bakal melihat kedudukan ranking mereka akan turun dengan mendadak.

KELAJUAN PAPARAN MUKA SURAT PADA LAMAN WEB

Dikenali sebagai LCP atau Largest Contentful Paint, penilaian ini merujuk kepada kadar purata kelajuan paparan kandungan utama yang terdapat pada setiap muka surat yang wujud pada laman web. Biasanya setiap muka surat akan mempunyai kandungan utama seperti penulisan dan visual seperti gambar, grafik dan video. Google akan menggunakan LCP sebagai petunjuk dalam penilaian kepantasan kandungan utama yang dipaparkan. Ia bukan kepantasan muka surat tetapi kepantasan paparan kandungan utama yang ada di dalam muka surat itu.

Setiap kandungan utama pada setiap muka surat perlu dipaparkan tidak lebih dari 2.5 saat. Ini penanda aras baharu Google. Sekiranya kandungan utama dipaparkan perlahan, iaitu melebihi 2.5 saat maka laman web kita akan menerima skor yang rendah dalam pengiraan Google. Walau bagaimanapun, setiap skor yang dikira untuk penulisan, gambar dan video tidak sama bagi jenis kandungan. Namun, 2.5 saat ini merupakan kelajuan purata yang akan diambil kira. Lebih pantas paparan kandungan utama yang ada pada setiap muka surat, skor yang akan diterima akan lebih baik. Lebih baik skor, lebih baik kedudukan ranking laman web kita di Google.

KADAR INTERAKTIF

Google menilai kadar interaktif laman web dengan menggunakan satu metrik yang dikenali sebagai First Input Delay atau FID. Ia merujuk kepada berapa pantas masa yang diambil untuk laman web itu melaksanakan perintah pengguna. Begini, Google ingin tahu berapa pantas laman web itu akan bertindakbalas setelah sesuatu butang itu diklik. Menurut Google, kepantasan laman web perlu tidak melebihi 100 mili-saat. Sekiranya laman web kita hanya bertindak selepas hanya 300 mili-saat, maka ia akan dikira perlahan.

KESTABILAN PAPARAN VISUAL

Ketika mana-mana muka surat pada laman web dipaparkan pada skrin, ia perlu stabil. Metrik ini dikenali sebagai Cumulative Layout Shift atau CLS. Contohnya begini. Ketika kita melayari satu muka surat pada laman web itu dan kemudiannya menekan satu butang untuk ke muka surat lain, paparan muka surat baharu yang keluar kelihatan agak pelik. Visualnya lari dan penulisannya pula tidak selari. Ini menunjukkan yang setiap elemen muka surat yang dipaparkan itu tidak stabil. Dan apabila ia tidak stabil, skor CLS laman web itu akan tinggi. Lebih tinggi skor CLS, maka laman web itu tidak akan dinilai sebagai stabil oleh Google.

Google kini sedikit demi sedikit mementingkan pengalaman pengguna dalam menilai sesebuah laman web. Jadi lebih cepat kita perbetulkan ciri-ciri teknikal yang ada pada laman web hari ini dengan berpandukan elemen-elemen Core Web Vitals yang telah saya kongsikan tadi, lebih cepat kita akan melihat kedudukan ranking laman web kita akan lebih kukuh dan mudah dijumpai.

AZLEEN ABDUL RAHIM adalah pakar strategi perniagaan dan penulis blog. Ikuti penulisan beliau di adjunctprof.com – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN