CALIFORNIA: Intel Corp merancang pengurangan besar-besaran pekerja, mungkin berjumlah ribuan orang, untuk mengurangkan kos dan menghadapi pasaran komputer peribadi (PC) yang semakin mencabar, lapor Bloomberg, memetik sumber.
Pemberhentian itu akan diumumkan seawal bulan ini, dengan syarikat merancang untuk bergerak seiring dengan laporan pendapatan suku ketiganya dijadual 27 Oktober ini, kata sumber itu.
Menurut laporan, Intel mempunyai seramai 113,700 pekerja setakat Julai lalu.
“Sesetengah bahagian, termasuk kumpulan jualan dan pemasaran Intel, bakal mengurangkan kira-kira 20 peratus kakitangan,” jelasnya.
Intel menghadapi penurunan mendadak dalam permintaan untuk pemproses PC, yang merupakan perniagaan utamanya, dan telah ‘bergelut’ bagi mendapatkan kembali bahagian pasaran yang hilang daripada pesaing, Advanced Micro Devices Inc.
Pada Julai, syarikat memberi amaran bahawa jualan pada 2022 akan susut kira-kira AS$11 bilion (RM51.52 bilion) daripada unjuran. Penganalisis pula meramalkan syarikat akan mengalami penurunan pendapatan suku ketiga hampir 20 peratus.
Perkembangan itu menunjukkan margin pendapatan Intel telah ‘mengecut’ kira-kira 15 peratus daripada penguasaan pasaran sekitar 60 peratus sebelum ini.
Semasa pembentangan pendapatan suku kedua lalu, Intel mengakui bahawa ia boleh membuat perubahan dalam perniagaan untuk meningkatkan keuntungan.
“Kami juga menurunkan perbelanjaan teras pada tahun kalender 2022 dan akan melihat untuk mengambil tindakan tambahan pada separuh kedua tahun ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Pat Gelsinger.
Intel yang berpangkalan di Santa Clara di sini, enggan mengulas mengenai laporan pemberhentian tersebut.
Pada 2016, Intel melakukan pemberhentian besar-besaran pekerja dengan mengurangkan kira-kira 12,000 kakitangan atau 11 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerjanya.
Syarikat juga telah membuat beberapa pengurangan kakitangan dalam skala lebih kecil selepas itu, selain menutup beberapa bahagian, termasuk modem selular dan unit dron.
Seperti kebanyakan syarikat dalam industri teknologi, Intel juga membekukan pengambilan pekerja awal tahun ini, apabila keadaan pasaran semakin buruk dan kebimbangan kemelesetan yang semakin meningkat.
Jualan PC merosot 15 peratus pada suku ketiga tahun ini berbanding tahun sebelumnya, menurut IDC. Syarikat komputer seperti HP Inc, Dell Technologies Inc dan Lenovo Group Ltd, yang menggunakan pemproses Intel, turut mengalami penurunan jualan yang ketara.
Pada masa yang sama, syarikat berada di bawah tekanan pelabur untuk meningkatkan kembali keuntungannya. Saham syarikat telah jatuh lebih 50 peratus pada 2022, dengan kejatuhan 20 peratus pada bulan lalu sahaja. – AGENSI










