AGENDA Pas dan UMNO tidak sama. Beza bak langit dan bumi. UMNO barangkali sudah lali mendengar jawapan Pas yang asyik melagukan ‘penyatuan ummah’ ala Pas. Siapa ummah yang hendak disatukan tak pasti, tapi yang nyata UMNO terus disindir, dimetafora dan dilampu limpahkan.
Daripada Presiden Pas sendiri, Tan Sri Abdul Hadi Awang habis ditalanya UMNO yang dilabelkan ‘itik patah kaki’. Melayan Pas dari hari ke hari walau memang ‘harimau’ di dalam perut tapi UMNO paksakan juga ‘kambing’ yang keluar. Syarat ditetapkan UMNO agar tidak ada ‘kolam’ lain yang mengacau Muafakat Nasional (MN) disambut Pas ‘ala Pas’.
Kali ini dengan ungkapan kononnya ‘Pas perlukan keanjalan dalam rundingan dengan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)’ – yang cukup sekali menoktahkan MN.
Jawapan Abdul Hadi menolak syarat UMNO sebenarnya telah menyelamatkan dua parti itu. Kalau Pas bersambut, masa pula terlalu suntuk untuk UMNO menyusun atur balik pengagihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dalam kalangan senarai calon pilihan raya umum (PRU). Mahu huru-hara ribut dalam cawan UMNO dibuatnya untuk menjawab rasa tidak puas hati bakal calonnya.
Dan itu belum lagi ‘tikam belakang’ yang akan dialami UMNO khususnya. Sekiranya bersama Pas dan Bersatu, kemungkinan besar akan ada tajaan calon-calon Bebas melawan parti itu seperti dialami dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September 2020. Depan cakap lain, belakang putar alam.
PRN Sabah memberi pengajaran berharga kepada UMNO, apa makna ‘kerjasama dan siapa kawan, siapa lawan’. Waktu itu UMNO diberi kerusi yang berat untuk menang sementara Bersatu pula ‘kacau daun’ dengan meletakkan calon dari Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) bertembung calon UMNO.
Anggota PN selain Bersatu ialah STAR, SAPP dan Pas. BN pula terdiri daripada UMNO, MCA, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan MIC.BN dalam GRS bertanding 41 kerusi termasuk 32 dari UMNO, MCA (empat) dan PBRS (lima).
Bagaimanapun, pertembungan sesama sendiri dalam kalangan parti-parti GRS berlaku di 17 kerusi. Ini terjadi apabila PBS meletakkan 22 calonnya berbanding 15 kerusi yang dipersetujui di peringkat awal. Mengapa hanya UMNO terpaksa ‘bertempur’ dengan rakan sekutu sendiri dalam GRS di lima kerusi?
Baik UMNO mahukan Pas, masing-masing sebenarnya beruntung kerana tidak berpakat dalam PRU ini. Tidak ada manisnya ‘penyatuan ummah politik’ kerana bila kuasa dan jawatan menjadi rebutan, sesiapa pun waima yang ‘Islam jadi teras perjuangan’, akan jadi gelap mata.
Cukup-cukuplah bersentimental semasa siri pilihan raya kecil pasca PRU14 yang menyerlahkan kekuatan MN sampai 7-0, sehingga menggentarkan PH.
KINGMAKER
Suatu ketika, antara 1990 hingga 1995, Parti Melayu Semangat 46 (S46) dikatakan dapat belajar bagaimana istilah Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang dijalin bersama Pas hanya wujud di bibir.
Tidak pada kertas dan dakwat, tidak dari segi amalan. S46 benar-benar dapat memahami bahawa ‘ukhuwah Islamiah’, ‘Islam sebagai addin’ dan ‘membangun bersama Islam’ adalah semata-mata gimik serta helah politik Pas untuk meraih dan mengekalkan pengaruh dan kuasa politik di Kelantan.
Abdul Hadi mungkin tidak mahu Pas sekadar menjadi parti anak tangga atau parti yang menumpang semata-mata. Dengan Bersatu, barangkali boleh ‘dimakannya’ tetapi tidak sama sekali ‘penumpang’ kepada UMNO.
Namun realiti dalam politik Malaysia, sebenarnya Pas sudah lama menjadi ‘penumpang’ kepada semua parti. Bukan kepada UMNO semata-mata sehinggakan cakap-cakap yang berlegar Pas ini kingmaker atau broker-kah?
Adakah tiga tahun UMNO-Pas memperjuangkan survival MN itu sia-sia belaka? Boleh jadi begitu. Tetapi ramai berpendapat pengalaman itu cukup bererti bukan sahaja dari sudut menguji kesetiakawanan dalam politik tetapi juga dari kaca mata perjuangan itu sendiri.
Elok UMNO cara UMNO, Pas acuannya Pas. Pas tidak boleh menjadi sesumpah kerana realiti di PRN Melaka dan Johor tempoh hari tiada agenda penyatuan ummah pun daripada Pas, tetapi soal kedudukan. Lagu ‘Pas tidak kalah tapi belum menang’ akan terus berkumandang.
Agenda Melayu sebenar aras tinggi tetap perlu diperjuangkan dalam konteks perjuangan negara. Dan satu perkara yang sering ditanyakan kepada akar umbi UMNO kenapa mereka muktamad menolak Bersatu, jawapannya tetap sama sepanjang masa: “Kerusi-kerusi Parlimen kami yang menang telah dicuri. Adakah Pas akan memaafkan pencuri kerusi mereka?”
Main wayang dengan berselindung di sebalik ‘teater penyatuan ummah’ dan Islam amat menjengkelkan. Nawaitu sebenar hanyalah kuasa dan hendak menjadi kingmaker.UMNO dan Pas bertentangan kerana kepercayaan politik mereka, bukan lagi kerana salah faham. Kedinginan kedua-dua belah pihak dipanaskan lagi dengan kebencian antara satu sama lain.
Usaha untuk menyatukan Pas dan UMNO memang sia-sia. Perbezaan pendapat antara kedua-dua pihak ini adalah percanggahan berdasarkan prinsip, yang tidak boleh diselesaikan dalam sekelip mata melalui satu perhimpunan.
UMNO perlu menjauhi pengkhianat sebelum penamaan calon PRU15 untuk menang dan menjadi kerajaan yang stabil. Adakah UMNO yakin bekerjasama dengan Pas pada PRU15 ini akan mewujudkan kerajaan yang stabil? Sejarah siri PRU yang lepas mendapati sebaliknya.
Biarlah BN menang atas keupayaannya sendiri daripada menumpang ihsan orang lain. Kata-kata manis biasanya akan menjadi racun di kemudian hari. Jangan percaya dengan pentas opera Pas! – UTUSAN
DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.











