PETALING JAYA: Kerajaan perlu menimbang cadangan menghentikan eksport telur ayam ke Singapura dan Hong Kong bertujuan menstabilkan bekalan sumber protein utama negara itu.
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr. Ameer Ali Mydin berkata, kerajaan harus proaktif menyekat eksport ekoran kekurangan dalam pasaran tempatan yang mendorong peningkatan harga.
Katanya, contoh terbaik adalah sewaktu kerajaan mengenakan sekatan eksport ayam berkuat kuasa 1 Jun lalu yang akhirnya menstabilkan bekalan ayam dalam negara.
“Langkah penyelesaiannya, pertama mengapa kerajaan tidak menyekat eksport telur,yang sekarang ini dieksport ke Singapura dan Hong Kong? Kita mahu tahu mengapa kerajaan tak sekat eksport telur seperti yang kita lakukan ke atas ayam,” katanya semalam.

Beliau berkata, kerajaan juga harus merangka satu mekanisme yang menyeluruh bagi memastikan ketersediaan bekalan telur di pasaran sebelum melaksanakan langkah mengawal harganya.
“Kedua, ketersediaan bekalan adalah lebih penting berbanding harganya. Kalau kerajaan mengawal harga, tapi bekalan tiada, buat apa? Contohnya kita mahu kawal harga roti canai, tapi roti canai itu sendiri tiada di pasaran, jadi ktia nak makan apa?
“Kerajaan harus terlebih dahulu memastikan bekalan telur tersedia ke pasaran sebelum mahu melaksanakan kawalan harga ke atasnya. Ini perkara yang harus ditekankan.
“Sebelum kerajaan menetapkan kawalan harga, mereka harus memastikan bahawa mereka ada kuasa dan mekanisme bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi,” katanya.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan pendedahan sumber industri telur ayam, bahawa pemain gergasi industri itu memberi alasan kos operasi tidak seimbang dengan harga kawalan kerajaan dan memeras kerajaan agar menyuntik puluhan juta ringgit sebagai subsidi.
Walaupun kerajaan sudah memenuhi banyak tuntutan industri, namun, isu kekurangan telur masih berterusan dan kemelut ini dipercayai berakar umbi daripada sifat tamak pemain industri yang hanya mahu mengaut untung besar dengan mengeskport bekalan itu ke negara jiran. – UTUSAN











