SIK: “Setelah Menteri Besar umum Kedah mahu teroka unsur nadi bumi (REE) dua tahun lepas, penduduk kampung mula melihat laluan masuk ke Bukit Enggang semakin sibuk dengan lori berulang-alik ke puncak bukit.”
Itu cerita seorang penduduk di Kampung Sungai Senang di sini, Mohd. Murshidi Morad, 70, yang tinggal betul-betul di simpang untuk ke Hutan Simpan Bukit Enggang.
Menurutnya, penduduk tidak membantah kerana menganggap kegiatan itu dibenarkan secara sah susulan pengumuman dibuat kerajaan negeri pada 2 Disember 2020.
“Kami tidak mengesyaki apa-apa sebaliknya hanya meminta kanak-kanak berhati-hati ketika bermain di pekarangan rumah kerana bimbang dengan kenderaan berat yang lalu-lalang.
“Kami ada juga bertanyakan beberapa individu yang terlibat kerja-kerja melombong itu, mereka beritahu nak pergi ambil sampel yang macam Menteri Besar umum itu. Tetapi selepas sekian lama, kami mulai pelik kerana aktiviti ambil sampel itu berlarutan dalam tempoh yang lama.
“Memang kami ini orang kampung tetapi tahu juga sedikit sebanyak kerana nak ambil sampel rasanya bukan perlukan kuantiti yang banyak tetapi kami tiada apa-apa bukti melainkan syak sahaja sebelum kemalangan lori membawa bahan itu berlaku baru-baru ini dan didedahkan pula Utusan Malaysia,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Zulkefly Hassan, 53, berkata, kelibat lori-lori yang keluar masuk ke Hutan Simpan Bukit Enggang boleh dilihat sekurang-kurangnya dua kali sehari.
“Ada yang masuk sekitar pukul 11 pagi dan keluar semula kira-kira pukul 2 petang dan trip lori berlainan pula masuk lagi memasuki hutan itu semasa waktu maghrib sebelum keluar semula pada pukul 11 malam.
“Sudah lama kami perhatikan gerak-geri ini tetapi kami tak tahu nak laporkan kepada sesiapa dan pada masa sama tertanya-tanya apa sebenarnya aktiviti yang dilakukan kerana tiada bukti kukuh,” katanya.
Bagi Razali Ahmad, 69, pula, mereka mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena kerana pihak yang melakukan kerja-kerja perlombongan itu langsung tidak menawarkan pekerjaan kepada penduduk kampung walaupun sebagai pemandu jentolak.
“Biasanya jika ada kerja-kerja sebegini di kawasan sekitar, ada juga penduduk yang mahir dan memiliki lesen pengendalian jentera berat diberikan kerja tetapi kali ini langsung tidak dilayan walaupun ada pemuda kampung yang meminta kerja dengan mereka.
“Maka memang benarlah mereka tidak menggajikan warga tempatan dan membawa pula orang asing menjarah hasil bumi Sik sejak dua tahun lalu sehingga mengakibatkan negara kita rugi besar yang saya difahamkan mungkin sudah cecah bilion ringgit. Bagi penduduk kampung wang RM1 juta pun tak pernah tengok inikan pula jumlah terbabit,” katanya.
Baru-baru ini, akhbar ini melaporkan tapak perlombongan haram REE yang dilakukan sindiket bagi mencuri hasil mineral di Hutan Simpan Bukit Enggang, di sini tidak ubah seperti kubu perang.
Tinjauan udara oleh Utusan Malaysia ke puncak bukit itu mendapati terdapat sebuah khemah di lokasi itu dipercayai berfungsi sebagai tempat mengurus kegiatan haram terbabit.
Berdasarkan maklumat diterima juga, tidak mustahil masih terdapat ahli sindiket atau para pekerja di tapak perlombongan terbabit bersembunyi di sekitar hutan tersebut kerana mereka dikatakan bertempiaran lari ketika serbuan dilakukan pihak berkuasa baru-baru ini. – UTUSAN











