PETALING JAYA: Jumlah trafik perjalanan udara global yang diukur dalam hasil penumpang setiap kilometer (RPK), melonjak 67.7 peratus pada Ogos lalu.
Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dalam satu kenyataan berkata, secara keseluruhan trafik kini berada di tahap 73.7 peratus daripada paras sebelum krisis.
Jelasnya, peningkatan berkenaan menunjukkan data penumpang perjalanan udara bagi Ogos 2022 pada momentum pemulihan yang berterusan.
“Trafik antarabangsa melonjak 115.6 peratus berbanding Ogos 2021 dengan syarikat penerbangan Asia mencatat kadar pertumbuhan tahun ke tahun paling kukuh di mana RPK antarabangsa pada Ogos 2022 bertambah 67.4 peratus daripada paras Ogos 2019.
“Trafik domestik bagi Ogos tahun ini pula meningkat sebanyak 26.5 peratus berbanding tahun-tahun sebelumnya dengan jumlah trafik domestik Ogos 2022 berada pada 85.4 peratus daripada paras 0gos 2019,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah IATA, Willie Walsh berkata, meskipun berlaku ketidaktentuan ekonomi permintaan perjalanan udara masih berkembang dengan baik.
“Penarikan dan kelongaran sekatan perjalanan di beberapa destinasi utama Asia termasuk Jepun akan mempercepatkan pemulihan industri ini di Asia.
“Tanah besar China merupakan pasaran utama terakhir yang masih mengekalkan sekatan kemasukan ekoran Covid-19,” katanya.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan IATA berkata, pasaran kargo udara global menunjukkan daya tahan industri di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi.
Katanya, permintaan kargo udara global yang diukur dalam kargo tan bagi setiap kilometer (CTK) jatuh 8.3 peratus berbanding Ogos 2021, namun berlaku sedikit peningkatan berbanding penurunan tahun ke tahun sebanyak 9.7 peratus pada Julai 2022.
Menurut Walsh kargo udara terus menunjukkan daya tahan meskipun isyarat pasaran kekal bercampur.
“Jumlah kargo secara relatifnya stabil dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan konflik geopolitik .
“Tetapi penurunan dalam pesanan eksport baharu dalam semua pasaran kecuali AS memberitahu kita bahawa perkembangan dalam beberapa bulan akan datang perlu diperhatikan dengan teliti,” katanya. – UTUSAN










