BERLANGSUNG selama tiga hari di Pusat Seni Persembahan Petaling Jaya (PJPAC), teater Maduku Terpaling Kalut (MTK) barangkali boleh dipuji sebagai antara pementasan yang berjaya mencuri hati kelompok penonton.
Usaha produksi Mask Team itu bermula dengan penghasilan Maduku Kalut pada 2013, disusuli pementasan kedua pada 2015 menggunakan judul Maduku Kalut Returns.
Idea menghasilkan kembali adaptasi karya Inggeris popular Run For Your Wife karya Roy Cooney, yang mula dipentaskan kali pertama di West End, London, England pada 1983 ini sebenarnya masih diterima ramai.
Namun, jika tersimpan hasrat untuk mementaskannya buat kali keempat, barangkali penangannya sudah tidak lagi kuat.
Meskipun setiap edisi pementasan menampilkan wajah pelakon berbeza, penggunaan naskhah sama dikhuatiri membuatkan penonton bosan, lantaran sudah memahami alur dan jalan ceritanya.
Bukan menghentam usaha penerbit, malah pujian wajar diberikan atas keberanian Mask Team mementaskan karya ini ketika kebanyakan produksi lain masih teragak-agak untuk berbuat demikian.
Sejak pandemik Covid-19 melanda dunia, teater adalah antara sektor yang paling perlahan bergerak, berbanding muzik atau lakonan.
Sekurang-kurangnya, usaha mereka menjentik dan membuka mata produksi teater lain untuk segera bangkit daripada ‘tidur’ dan berbuat sesuatu supaya industri teater tempatan tidak terus lesu.
Lakonan mantap
Dilihat banyak memberi peluang kepada orang baharu dalam bidang teater untuk menyerlahkan bakat menerusi naskhah ini, MTK beruntung kerana barisan pendukungnya mantap dalam memberikan persembahan penuh tenaga.
Ia menampilkan Anna Jobling, Azrel Ismail, Puteri Sarah dan tiga pelakon baru iaitu Syafiq Naser, Aya Amiruddin serta Curly Jow. MTK kelihatan bernyawa kerana pesona yang diberikan kesemua pelakon begitu luar biasa.
Kehadiran Puteri Sarah membawakan watak Bibi, nyata mengesankan walaupun itu percubaan pertamanya berlakon pentas.
Begitu juga dengan pelakon yang sedang meniti populariti, Anna Jobling yang memperlihatkan kematangan dari aspek lakonan, malah giat berusaha untuk terus memperbaiki mutu persembahannya.
Hal itu dirasai ramai, apatah lagi umum tahu, bukan mudah untuk berlakon di hadapan penonton secara langsung kerana situasinya tidak sama seperti beraksi di depan kamera.
Usah dilupakan juga usaha dan semangat yang diberikan oleh barisan pelakon baharu seperti Aya, Curly Jow dan Syafiq.
Mereka boleh dikatakan dalam diam ubi berisi. Mana tahu, tidak lama lagi mampu melebarkan sayap dan terbang lebih tinggi sebagai antara pelapis pelakon bermutu dalam industri? Bakat mereka boleh digilap lagi!
Apapun, sekalung tahniah wajar diberikan kepada seluruh pasukan MTK dan penerbit atas usaha ini. Terus menghasilkan karya yang lebih bermutu pada masa hadapan.











