KUALA LUMPUR: Meskipun belum ada tarikh penguatkuasaan Larangan Ahli Parlimen bertukar parti, kerajaan tetap memberi jaminan ia akan ditetapkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menjelaskan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini kerana undang-undang itu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong seperti mana dipaparkan di laman sesawang rasmi Istana Negara.
“Ia akan berlaku (kuat kuasa) sebelum (PRU15). Perlu bersabar dan saya akan tampil sekali lagi di hadapan anda (pemberita) dalam tempoh terdekat.
“Saya akan memberi penjelasan lanjut ketika itu,” katanya.
28 Julai lalu, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti, diluluskan selepas bacaan kali ketiga dengan sokongan majoriti melebihi dua pertiga.
Undi belah bahagian yang dimulakan pada jam 4.45 petang itu menyaksikan seramai 209 bersetuju, manakala 11 lagi tidak hadir.
Dewan Negara kemudiannya meluluskan RUU berkenaan pada 8 ogos lalu selepas dibahas lebih tiga jam oleh 32 Ahli Dewan Negara yang mewakili pihak kerajaan dan pembangkang.
Untuk rekod, Seramai 39 Ahli Parlimen di negara ini telah melompat parti sejak 2018 sehingga kini.
Jelas Wan Junaidi sebelum ini, tindakan melompat parti juga membawa kepada ketidakstabilan politik negara, malah negara telah menyaksikan pertukaran tiga orang Perdana Menteri dalam satu penggal parlimen.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2023 pada Jumaat ini dan tiada perubahan yang berlaku mengenai perkara itu setakat ini.
Menurutnya, ia berdasarkan pemahamannya semasa mesyuarat pramajlis bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-14 pada malam tadi.
“Apa-apa perubahan selepas jam 10.30 malam tadi saya tidak tahu.
“Kita ada mesyuarat pramajlis malam tadi, jam 10.30 saya balik dan saya orang terakhir dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Saya tahu Bajet akan dibentang pada 7 Oktober,” katanya lagi.
Di bawah peraturan Dewan Rakyat dan Parlimen, mana-mana Rang Undang-Undang (RUU) yang telah dibentang pada kali pertama tidak akan terbatal walau apapun berlaku dan ia boleh disambung selepas itu.
“Tetapi, tidak ada halangan dan masalah kerajaan atau mana-mana pentadbiran yang baru datang boleh meminda, mengubah atau membatalkannya.
“Jadi dari sudut undang-undang tidak terbatal, tetapi boleh dibatal seperti yang berlaku pada 2018,” jelas Wan Junaidi lagi. – UTUSAN











