Zamani lega langsai ‘hutang’ dengan peminat - Utusan Malaysia

Zamani lega langsai ‘hutang’ dengan peminat

ZAMANI bersyukur dapat bertemu peminat sebelum menjalani pembedahan, bulan depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAM yang penuh dengan emosi dan buaian nostalgia. Mungkin itu yang dapat digambarkan mengenai Konsert Doa Buat Zamani Unplugged yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Menyaksikan hampir 2,000 peminat hadir berkumpul, suasana kali ini sedikit berbeza. Peminat tidak sekadar datang berkumpul untuk menikmati muzik dan alunan gemersik suara Zamani.

Penyatuan mereka pada malam itu sarat dengan kasih dan sayang, selain keikhlasan mendoakan penyanyi berusia 51 tahun itu yang bakal menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang melengkung atau Skoliosis yang dialaminya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Itu juga menjadi hajat Zamani yang sedari awal memberitahu umum, penganjuran konsert itu sebagai hadiah buat peminat sebelum dia melawan gementar memasuki dewan bedah awal bulan depan.

“Saya takut kalau jadi apa-apa,” katanya dalam satu temu bual sebelum ini bersama pihak media.

Ayat hampir sama disebut lagi Zamani ketika berinteraksi dengan peminat di pentas konsert. Katanya, melihat kehadiran peminat yang ramai, hatinya diselubungi terharu.

“Saya terharu ramai hadir. Saya akan lega kalau jadi apa-apa selepas menjalani pembedahan. Terima kasih kerana mendoakan keselamatan saya, Insya-Allah.

“Minta maaf juga jika nyanyian saya tidak sampai atau tersalah atas faktor kesihatan. Harap semua faham. Persembahan malam ini santai-santai saja dan harap semuanya terhibur,” katanya.

Membuka tirai persembahan dengan lagu Kurnia, Zamani seterusnya menghiburkan seisi dewan dengan nyanyiannya bersama Datuk Ramli Sarip menerusi lagu Senandung Hidup Berbudi, sebelum Ramli menghadiahkan lagu Perjalanan Hidup.

Konsert diteruskan dengan seleksi lagu popularnya seperti Syair Si Pari-Pari, Entah Mengapa, Kala Hujan dan Damai Di Hati.

Selain Ramli Sarip, konsert juga dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi hebat lain seperti Rahim Maarof dan Fauziah Latiff.

Menariknya, peminat dapat menyaksikan duet antara Zamani dengan Rahim menerusi lagu Falsafah Cinta, manakala bersama Fauziah membawakan lagu Kau Merubah Segalanya.

Peminat juga dikejutkan dengan kemunculan Datuk Aznil Nawawi yang menjentik emosi menerusi ucapannya mengenai Zamani dalam meniti perjalanan sebagai anak seni.

Pada malam itu, Aznil melelong beg jenama mewah miliknya berharga RM15,000 bagi membantu menampung kos rawatan dan kegunaan Zamani selepas pembedahan.

Dalam sebak, Aznil memberitahu, dia tidak menyangka usahanya sebelum ini berjaya mengumpul dana sebanyak RM122,000 bagi kos rawatan dan pembedahan penyanyi itu.

“Saya dengan berbesar hati mahu melelong beg tangan peribadi milik saya ini dengan harga lelongan RM15,000 bagi menambah kewangan buat Zamani selepas pembedahan nanti.

“Saya juga berbesar hati untuk sekali lagi melancarkan tabung yang hanya dibuka untuk tempoh 24 jam. Dengan kuasa viral media sosial, marilah kita sama-sama membantu,” katanya.

Tidak sampai 20 minit, beg tersebut dibeli penyanyi nasyid UNIC, Dr. Fitri Haris yang sebelum itu diundang membacakan doa pada konsert berkenaan.

Persembahan pada malam itu juga bagaikan lengkap apabila Zamani menyampaikan lagu hits, Gerimis Mengundang. Dinyanyikan bersama-sama peminat, emosi yang ada pada lagu itu dirasai ramai, sekali gus mencipta momen tersendiri buat seisi dewan.

Air mata Zamani juga tertumpah tatkala menyampaikan lagu Namun Ku Punya Hati.

Dalam suasana sarat emosi, Zamani sedaya upaya cuba mengawal perasaan demi mengotakan janjinya iaitu menghiburkan peminat yang tersayang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×