OLEH SARFARIZAL MD SAAD
Kita sudah tinggalkan suasana 2020 dengan penuh duka melebihi gembira. Serangan virus maut Covid-19 bersifat pandemik memungkinkan kita untuk hidup dalam keadaan yang bukan kebiasaan norma.
Namun hidup wajib diteruskan! Tahun 2021 yang sudah datang menjengah perlu disambut dengan semangat baharu dan langkah yang penuh seimbang, agar perjalanan dan perjuangan kita tidak tergelincir dari episod kebenaran.
Jika pada 2020, plot hidup kita sudah penuh ranjau dan berliku, apatah lagi di 2021 ini. Pasti ia akan menjanjikan kepada kita suasana penuh kelainan dan kewujudan pelbagai lagi norma-norma baharu dalam hidup seharian. Ini ditambah dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, bukan sahaja impak negatif dari serangan pandemik Covid-19 yang mengubah segala bentuk amalan kehidupan masyarakat dunia.
Realiti hari ini, kita dapat lihat dengan mata sendiri terdapat individu sama ada golongan lelaki mahupun wanita terpaksa bekerja dari pagi hingga lewat malam. Keluar rumah pada waktu Subuh dikala gelap masih menyulami alam tanpa cahaya matahari, dan pulang semula ke rumah setelah bulan sudah muncul di muka langit.
Adakah keadaan ini sihat untuk kehidupan kita semua? Apakah ia merupakan sebuah ciri-ciri negara maju? Jawapannya tidak sama sekali. Jika keadaan ini berterusan, kesannya akan mencetuskan tekanan emosi, keletihan mental dan fizikal, pergolakan rumah tangga, penceraian, produktiviti kerja kian menurun serta indeks berhenti kerja, atau lompat-lompat kerja akan semakin tinggi.
Saya pernah terbaca kajian tinjauan yang dibuat oleh Linkedln Learning (2019) menunjukkan sebanyak 49 peratus daripada pekerja dilaporkan mengalami tekanan dalam pekerjaan mereka. Kajian tersebut dilakukan ke atas 2,843 responden golongan profesional.
Menurut kajian tersebut, antara punca utama tekanan di tempat kerja tanpa mengira jantina, umur dan pangkat adalah berasa sukar untuk mencapai keseimbangan antara kerja dan kehidupan serta tertekan dengan bebanan di tempat kerja.
Lelaki VS Wanita
Jika nak kata hanya sesetengah jantina sahaja yang punya cabaran melebihi yang lain, pasti ia tidak bersifat adil dan saksama. Ini kerana, setiap yang bergelar manusia tanpa melihat kepada jantina, masing-masing dihadapkan dengan pelbagai dugaan dan cabaran yang kompleks sifatnya.
Namun dalam ruang ini, kita ingin menegaskan bahawa golongan wanita bekerjaya merupakan sekumpulan aset negara yang berhadapan dengan cabaran dan realiti tersendiri.
Sebagai contoh, bagi pekerja wanita yang sudah bergelar isteri, mereka bukan sahaja bertanggungjawab ke atas skop tugas yang diamanahkan oleh majikan di tempat kerja, malah sekembalinya mereka ke rumah, amanah dan tanggungjawab mereka dalam mentaati suami pula sedang menunggu.
Pada kata mudah, wanita yang sudah berumah tangga dan bekerjaya ini tidak pernah terhenti dari menanggung segala kewajipan kerja dan rumah tangga.
Itu tidak termasuk lagi mereka yang telah bergelar ibu. Seolah-olah ada tiga golongan yang mereka terpaksa tempuhi dalam masa 24 jam sehari untuk melaksanakan tuntutan tanggungjawab, iaitu suami, anak-anak dan majikan di tempat kerja. Oleh itu, tidak hairanlah jika statistik kajian menunjukkan betapa wanita bekerjaya dan sudah berumah tangga ini antara golongan yang paling tiada keseimbangan antara kerja dan kehidupan harian. Senang cerita, inilah golongan yang paling mudah tertekan!
Dasar Wanita Negara
Antara cara k erajaan Malaysia menyeimbangkan cabaran ini adalah melalui pengenalan kepada Dasar Wanita Negara. Ini suatu tanda bagaimana layanan baik pihak pemerintah negara bagi memelihara, menghormati, melindungi dan mengangkat darjat golongan tersebut.
Dasar Wanita Negara bertujuan menjamin pembangunan dan pengupayaan wanita dengan mengarusperdanakan kepentingan wanita untuk mencapai potensi mereka sepenuhnya dalam perancangan dan pembangunan negara untuk mencapai kesamaan gender.
Walaupun ia tidak mampu menyelesaikan seratus peratus permasalahan cabaran wanita bekerjaya di Malaysia, namun dengan adanya dasar ini ia mampu memberi pelindungan kepada mereka untuk bekerja dengan selesa disamping menumpukan perhatian di rumah bersama suami dan anak-anak.
Dugaan tanda Allah sayang
Mungkin golongan wanita khususnya dapat mengambil ibrah dari kisah ibu Nabi Isa A.A, iaitu Saidatina Maryam. Ketika Saidatina Maryam ingin melahirkan seorang nabi, bantuan datang bagi meringankan ujian yang ditanggungnya. Namun, beliau masih tetap disuruh berusaha mengurus ujian dalam hidupnya.
Dalam satu kisah, boleh saja Allah SWT menghidangkan makanan terus kepada Saidatina Maryam, namun beliau diperintah untuk menggegarkan pohon tamar supaya dapat dimakan buahnya.
Lihatlah betapa ujian yang datang daripada Allah SWT perlu diurus dengan usaha, bukan sekadar menunggu segalanya datang bergolek. Ingatlah, ujian datang adalah untuk meningkatkan martabat seorang insan di sisi Tuhan.
Penutup
Secara jujurnya, untuk membentuk sebuah kualiti hidup yang seimbang, kita harus mahir mengimbangi peranan dan tanggungjawab yang diberi. Peranan selaku pekerja di tempat kerja dan isteri atau ibu di rumah perlu diseimbangkan dengan penuh sabar dan ilmu yang tinggi.
Golongan wanita perlu mencari elemen-elemen yang boleh meningkatkan aura positif dalam hidup seharian agar ia mampu mempengaruhi keseluruhan impak hidup. Sudah pasti setiap wanita ingin menjadi pekerja yang cemerlang setiap masa dan menjadi isteri serta ibu yang penyayang di rumah.
Mungkin tepatlah pepatah Melayu yang berbunyi “tangan yang menghayun buaian itu mampu menggoncang dunia”. Dunia yang dimaksudkan bukan terhad kepada apa yang kita nampak, tetapi ia lebih kepada kehidupan dalam kerjaya dan berumah tangga. Goncang dunia bermaksud wanita mampu mencipta kejayaan dalam kerjaya dan mengurus rumah.
Penulis ialah Ahli Sunah Waljamaah cawangan Putrajaya










