ALOR SETAR: Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail terkejut apabila dimaklumkan beliau digantung keahlian daripada parti itu selama enam tahun dan percaya ia ada kaitan dengan tindakannya yang sering `bersuara’ di dalam parti.
Menurutnya, setakat ini beliau belum dimaklumkan secara rasmi tentang keputusan itu tetapi mungkin penggantungan tersebut juga dilakukan kerana dia merupakan penyokong kuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Malah, beliau menganggap, keputusan menggantungnya dan juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai satu isyarat daripada Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kepada Ismail Sabri supaya menyegerakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Katanya, bukanlah satu rahsia Ahmad Zahid sememangnya mahu supaya PRU15 diadakan secepat mungkin, seboleh-bolehnya pada bulan ini juga.
“Apa pun terjadi, saya tetap bersama UMNO dan masih menyokong kuat Perdana Menteri. Darah saya tetap ‘biru’ (Barisan Nasional) dan kita tunggu sahajalah untuk tempoh enam tahun ini, bukan lama pun,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, semalam.
Mohd. Yusof sebelum ini disebut-sebut sebagai antara individu yang akan diangkat sebagai calon, sekiranya UMNO bertanding di Parlimen Alor Setar bagi menggantikan MCA dalam PRU-15.
“Keputusan ini memang mengejutkan sebab saya tak tahu apa masalahnya dan lembaga disiplin parti juga tak pernah panggil saya sebelum ini. Saya difahamkan Ahmad Zahid umum kami digantung, kemudian terus keluar daripada bilik mesyuarat tanpa ada perbincangan dengan ahli mesyuarat lain.
“Kalau itu yang berlaku, bermakna bukan MT yang buat keputusan sebaliknya Ahmad Zahid yang buat keputusan. Beliau guna klausa mana untuk buat keputusan itu, saya pun tak tahu,” katanya.
Mengulas mengenai kedudukannya selepas ini sebagai calon UMNO dalam PRU15, Mohd. Yusof berkata, beliau sejak awal lagi sudah memaklumkan kepada Presiden yang dia tidak berniat untuk bertanding.
“Tujuan kita mahu UMNO bertanding di Parlimen Alor Setar hanyalah untuk memastikan BN memperoleh kemenangan di Parlimen itu. Tiada niat selain itu dan saya sendiri memang tak berniat untuk bertanding,” katanya. – UTUSAN










