ARAU: Pas akan meneruskan usaha ke arah penyatuan bersama UMNO sekali pun jika gagal berbuat dimikian pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Usaha ke arah penyatuan dua parti tersebut tidak pernah terhenti yang mana Pas dijangka memuktamadkan keputusan berhubung soal kerjasama bersama UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN) minggu depan.
Bagaimanapun, keputusan yang akan ditentukan Pas Pusat itu akan dibawa semula ke Majlis Syura Ulama khususnya dalam soal dasar atau isu berat seperti ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, keputusan tersebut nanti diharap demi kebaikan kepada penyatuan ummah.
“Kalau ikut jadual (muktamadkan keputusan) minggu depan. Kita lihat bagaimana nanti. Kalau berat sangat, kita akan bawa ke Majlis Syura untuk dibincang dan diputuskan,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Pas dijangka memuktamadkan siapa ‘rakan’ kerjasama mereka pada PRU15 dalam masa terdekat.
Perkara itu disahkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mengadakan pertemuan bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.
Menurut Muhyiddin, pada pertemuan itu, Abdul Hadi menjelaskan kepada beliau bahawa parti itu akan memutuskan segera rakan kerjasama mereka pada PRU15 sama ada PN atau UMNO.
Baru-baru ini, ketika berucap pada majlis sambutan ulang tahun keenam Bersatu di Putrajaya, Muhyiddin mengingatkan ahli partinya bahawa BN adalah musuh utama gabungan tersebut yang perlu dilawan pada PRU15.
Kenyataan Muhyiddin itu sekali gus bertentangan dengan kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum ini yang menyatakan BN bukan musuh utama PN sebaliknya musuh mereka adalah PH dan sekutu-sekutunya.
Ekoran itu, Hashim menasihatkan Muhyiddin agar memikirkan matlamat gabungan tersebut iaitu penyatuan ummah dan mengelak mengeluarkan kenyataan yang boleh membantutkan usaha ke arah penyatuan itu selain mengulangi pendirian parti itu bahawa musuh utama mereka untuk dilawan dalam PRU15 adalah PH, bukannya BN atau UMNO.
Sementara itu. Hashim berharap keputusan positif akan dicapai iaitu penyatuan bagi menentang PH. – UTUSAN











