MBSB Bank jangka pertumbuhan

MBSB Bank jangka pertumbuhan

NOR Azam M. Taib menyampaikan sijil program keusahawan GRAP kepada Rahayu Mohamed di Petaling Jaya, semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) menjangka Kumpulan boleh mencapai pertumbuhan yang baik dalam tempoh masa terdekat ini, sekurang-kurangnya sehingga separuh pertama 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Nor Azam M. Taib berkata, prestasi MBSB Bank pada suku ketiga 2022 dilihat jauh lebih baik berbanding suku pertama dan kedua.

“Kami menjangkakan prestasi pada suku keempat tahun ini juga akan lebih baik dan ia mampu berterusan sehingga suku pertama dan kedua tahun depan.

“Namun, saya tidak pasti sejauh mana pertumbuhan itu dapat dikekalkan kerana sebagai sebuah ekonomi yang kecil, kita masih bergantung kepada ekonomi di negara-negara sekeliling dan situasi mereka dilihat tidak begitu stabil,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sijil program keusahawanan Growth Entrepreneurship Assistance Programme (GRAP) anjuran MBSB Bank dengan kerjasama Islamic Relief Malaysia di sini, semalam.

Program tersebut telah membantu 23 peserta terdiri daripada usahawan kecil, mencatatkan pertumbuhan pendapatan yang tinggi dengan memperkasakan perniagaan mereka.

Nor Azam berkata, pihaknya sangat bersyukur dan berbesar hati dengan kejayaan GRAP.

“Kami menggunakan pendekatan berbeza iaitu dengan memberi ilmu untuk memastikan perniagaan mereka mampan dan terus berkembang berbanding memberi sejumlah wang kepada mereka.

“Dalam masa tujuh bulan itu, keputusan yang kita lihat adalah lebih daripada yang dijangkakan. Secara puratanya, para peserta mencatatkan pertumbuhan pendapatan bulanan melebihi 95 peratus.

“Walaupun program itu telah berakhir, kami akan adakan satu lagi program susulan untuk membincangkan strategi pengembangan perniagaan yang lebih lanjut untuk peserta terbabit.

“Harapan kami agar para peserta GRAP akan terus maju dengan perniagaan masing-masing dan limpahan manfaatnya dapat dikongsikan dengan keluarga serta komuniti setempat,” katanya.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat MBSB Bank.

GRAP dijalankan menerusi usaha sama dengan rakan pelaksana, Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) bermula Februari hingga Ogos lalu.

Objektif utama program selama tujuh bulan itu adalah untuk memperkasakan ekonomi komuniti B40 menerusi peningkatan kemahiran dan pengurusan perniagaan bagi memboleh penjanaan pendapatan mampan.

Sebanyak 23 peserta GRAP yang terdiri daripada penduduk PPR Desa Rejang, Setapak, di Kuala Lumpur telah berpeluang menjalani latihan jualan dan pemasaran dalam talian, pembangunan produk, minda kreatif, kaedah perakaunan seta pengurusan rekod, pembekal dan kesejahteraan emosi.

Usaha tersebut telah memperkukuhkan perniagaan serta daya saing para peserta yang mana 80 peratus daripadanya terdiri daripada golongan wanita termasuk ibu tunggal.

Daripada jumlah tersebut, 84 peratus melibatkan perniagaan makanan dan selebihnya jahitan serta ‘dropshipping’.

Sementara itu, peserta GRAP, Azie Haslinda Abu Bakar, 33, berkata, dia bersyukur apabila terpilih menyertai program tersebut setelah kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19.

“Menerusi GRAP, saya telah berjaya mempertingkatkan perniagaan pek makanan tengah hari. Kini, saya boleh menarik nafas lega kerana perniagaan saya antara yang mencatatkan pencapaian tertinggi dari segi peningkatan pendapatan setelah menyertai Grap,” katanya.

Seorang lagi peserta, Fazlekha Md. Ghazali, 38, yang merupakan penjaja makanan memberitahu, sebelum ini dia menghadapi kesukaran menambah pendapatan bulanan.

“Setelah menyertai Grap, saya berjaya meningkatkan pendapatan bulanan lebih 100 peratus dalam masa tujuh bulan dengan menjual char kuey teow dan nasi lemak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×