BAYAN LEPAS: Parti Rakyat Malaysia (PRM) bakal bertanding di lima kerusi Parlimen dan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketua PRM Pulau Pinang, Teh Yee Cheu berkata, lima kerusi Parlimen berkenaan ialah Bukit Bendera, Jelutong, Bayan Baru, Batu Kawan dan Nibong Tebal manakala kerusi DUN yang bakal ditandingi pula adalah kerusi di kawasan lima Parlimen berkenaan.
“Saya sendiri akan bertanding di Parlimen Bukit Bendera dan DUN Air Putih.
“Parti iniadalah parti bebas yang tidak bergabung dengan mana-mana parti sedia ada, jadi kami berharap pengundi akan memberi peluang kepada kami untuk membuat perubahan dalam politik negara,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir, Penyelaras PRM Parlimen Bayan Lepas, Ravinder Singh.
Untuk rekod, PRM bertanding di empat kerusi Parlimen dan 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang pada PRU-14 namun semua calon mereka tewas ketika itu.
Menurut Yee Cheu, calon-calon yang bakal mewakili PRM untuk bertanding juga telah dikenal pasti namun masih belum dimuktamad sehingga tarikh PRU-15 diumumkan.
“Calon-calon kami terdiri daripada mereka yang mempunyai pengalaman, matang, dan bebas daripada unsur-unsur rasuah.
“PRM yang ditubuhkan sejak 60 tahun lalu mempunyai ahli yang mahir dalam selok-belok politik negara dan kami mahu berkhidmat kepada rakyat sekiranya dipilih nanti,” katanya.
Tambahnya, situasi politik negara yang kini dicemari dengan rasuah menyebabkan parti itu meletakkan calon pada PRU-15 kerana mahu membersihkan politik negara daripada sebarang salah laku rasuah.
Dalam perkembangan lain, Ravinder berkata, PRM menggesa kerajaan memastikan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pembiayaan Dana Politik diluluskan dengan segera.
“Sejumlah besar wang yang diberikan oleh perniagaan sebagai ‘pembiayaan politik’ dan sebagai balasan mereka mahukan projek-projek daripada kerajaan.
“Perkara ini perlu dihentikan kerana tidak adil bagi parti-parti politik seperti PRM yang tidak mempunyai sebarang penaja dalam pilihan raya nanti,” katanya. – UTUSAN










