KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberi tumpuan dalam mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif, mencapai ketahanan dan daya saing yang tinggi dalam Bajet 2023Tumpu wujud persekitaran perniagaan kondusif.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perkara tersebut akan dicapai melalui penerapan teknologi yang inovatif, serta menaik taraf pembangunan modal insan dan tenaga kerja golongan Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana (PMKS) negara.
Katanya, banyak cabaran yang bakal dihadapi bagi suku keempat dan 2023, ekoran perang di Ukraine yang berterusan, prinsip Covid-sifar China, pendekatan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) dalam menaikkan kadar faedah bagi menangani inflasi dan gangguan rantaian bekalan.
“Jadi, sebagai pemudahcara sektor perniagaan, agensi seperti Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) harus bersiap sedia bagi terus membantu PMKS dalam mempertahankan pemulihan yang telah dicapai pasca pandemik.
“Dalam hal membina daya tahan, automasi dan pendigitalan juga penting dan perkara ini pastinya akan terus diberi penekanan di dalam Bajet 2023.
“Walau apa cabaran sekalipun, seperti yang telah terbukti semasa zaman pandemik, InsyaAllah kita akan capai keberhasilan positif melalui usahasama kita membantu sektor perniagaan bertahan dan bangkit semula,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa majlis menandatangani perjanjian oleh CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad dengan SJPP dan CGC di sini, semalam.
Melalui perjanjian tersebut, CIMB Bank mengumumkan komitmen berterusan menyediakan pembiayaan sebanyak RM30 bilion kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjelang 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, inisiatif tersebut bertujuan untuk menyalurkan pembiayaan, serta skim jaminan yang akan memacu pertumbuhan PKS untuk memberi peluang pasca pandemik, seiring dengan momentum pemulihan ekonomi.
“Komitmen pembiayaan PKS yang baharu ini akan mengukuhkan lagi usaha kami untuk membantu kumpulan ekonomi penting ini bagi tempoh dua tahun akan datang.
“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan SJPP dan CGC dalam membantu memperkasakan aktiviti ekonomi dengan menawarkan skim jaminan kepada perniagaan untuk terus kekal berinovasi dan berkembang dengan lebih pesat,” ujarnya. – UTUSAN










