Saham syarikat berasaskan minyak jatuh

Saham syarikat berasaskan minyak jatuh

FBM KLCI dijangka mencapai paras 1,740 mata menjelang akhir tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kejatuhan mi­nyak mentah global menyebabkan saham-saham syarikat bera­saskan minyak di Bursa Malaysia turut mengalami kejatuhan.

Dalam sesi dagangan sema­lam, Brent jatuh 49 sen kepada AS$85.66 sementara WTI Crude Oil pula merosot 40 sen kepada AS$78.34.

Sementara itu di Bursa Malaysia, Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menghampiri paras 1,400 mata apabila ditutup pada 1,413.04 mata, susut 11.94 mata daripada awal sesi dagangan, mengambil petunjuk daripada prestasi lemah semalaman Wall Street Jumaat lalu.

Paling banyak menyumbang penyusutan adalah Indeks Tenaga yang menunjukkan harga saham syarikat berkaitan minyak dan gas, jatuh lebih daripada 3.0 peratus semalam.

Kadar pertukaran dolar Ame­rika Syarikat (AS) ke ringgit juga dibuka lebih rendah pada 4.5870/5910 berbanding penutupan Jumaat lalu pada 4.5760/5790.

Menurut Reuters, harga minyak menjunam kira-kira 5.0 peratus kepada paras terendah lapan bulan pada penutup minggu lalu apabila dolar AS mencecah paras paling kukuh dalam tempoh lebih dua dekad.

“Ia juga berlaku di atas kebimbangan kenaikan kadar faedah akan menyebabkan ekonomi utama mengalami kemelesetan, mengurangkan permintaan terhadap minyak,” ujarnya.

Pada waktu rehat tengah hari, Indeks Tenaga turun 23.97 mata atau 3.36 peratus pada 688.67.

Sebagai perbandingan, pe­nanda aras 30 saham FBM KLCI jatuh 5.3 mata atau 0.37 peratus kepada 1,419.68.

Sementara itu, harga saham konstituen Indeks Tenaga Velesto Energy Bhd. dan Hibiscus Petroleum Bhd. jatuh dalam dagangan aktif.

Saham paling aktif Bursa, Velesto menyaksikan kira-kira 95 juta saham bertukar tangan. Harga saham Velesto turun satu sen atau 7.69 peratus pada 12 sen.

Hibiscus, yang merupakan saham kesembilan paling aktif Bursa, mencatatkan jumlah dagangan saham kira-kira 18 juta saham. Harga saham Hibiscus turun empat sen atau 4.44 peratus kepada 86 sen.

Mengulas kejatuhan Bursa, Rakuten Trade Sdn. Bhd. berpendapat, kegiatan memburu saham berharga murah kemungkinan muncul dalam saham berkaitan teknologi dan telekomunikasi berikutan jualan besar pada Jumaat lalu.

“Bagaimanapun, kaunter mi­nyak dan gas mungkin berhadapan beberapa tekanan jualan apabila harga minyak mentah Brent merosot kepada AS$86 setong berikutan kebimbangan kemelesetan global,” katanya.

Sementara itu, Apex Securities berkata, selepas jatuh pada Jumaat, FBM KLCI menembusi saluran aliran menurun selepas ia `melanggar’ paras sokongan 1,451 mata.

“Berikutan momentum semasa, indeks itu boleh terus menurun dan berehat di atas sokongan 1,408,” tambahnya.

Pergerakan harga di pasaran secara menyeluruh adalah negatif, menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung 834 berbalas 138, manakala 274 kaunter tidak berubah dan 1,151 kaunter lagi kaunter tidak diniagakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×