Dari ‘perosak rumah tangga’ bergelar Ratu Consort - Utusan Malaysia

Dari ‘perosak rumah tangga’ bergelar Ratu Consort

Raja Charles III dan isterinya, Camilla semasa mengunjungi Dunedia, New Zealand. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CITA-CITA Camilla untuk menjadi Ratu Consort akhirnya tercapai selepas gosip liar mengenai dirinya sebagai ‘penghancur rumah tangga’ antara Raja Charles III dengan Puteri Diana mula tersebar sejak 1986, walaupun ketika itu dia masih bergelar isteri orang.

Sekiranya mendiang Puteri Diana masih hidup dan rumah tangganya tidak diganggu ‘orang ketiga’, sudah tentu gelaran Ratu Consort menjadi milik mendiang.

Namun, Camilla selangkah lebih bijak dan sudah lama mengimpikan bergelar isteri kepada Raja Britain walaupun ketika mencecah usia 75 tahun, kerana dia tahu Ratu Elizabeth II akan mangkat juga satu hari nanti.

Ternyata usia bukan penghalang untuk pemilik nama lengkap Camilla Rosemary Shand menikmati kemewahan dalam empayar monarki Britain.

Ratu Consort merupakan gelaran kepada pasangan wanita atau isteri kepada seorang raja.

Gelaran ini sangat berbeza dengan istilah Ratu Britain atau Queen yang merupakan pemerintah dengan hak keistimewaan tersendiri.

Consort bukanlah merupakan gelaran formal tetapi adalah simbol yang diberikan kepada Raja.

CINTA TERTANGGUH

Wanita yang dilahirkan pada 1947 ini dikatakan mula bercinta dengan Charles sejak awal 1970-an, ketika kedua-dua mereka masih bujang.

Charles dan Camilla bertemu buat kali pertama semasa perlawanan Polo di Istana Windsor, 50 tahun lalu.

Siapa sangka hubungan mereka sebenarnya sudah menjangkau lima dekad jika dikira daripada detik perkenalan.

Charles mula berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja pada 1972, yang menjadi punca kisah percintaan mereka sewaktu muda tertangguh seketika.

Ketika itu, Camilla pula menerima lamaran daripada seorang pegawai tentera berkuda, Andrew Parker Bowles.

Selepas pasangan itu sah berkahwin pada Julai 1973, Parker Bowles tetap menjalin persahabatan rapat dengan Charles sehingga dinamakan sebagai bapa baptis kepada anak lelaki pertama Parker Bowles, Thomas.

Charles pula mula bertemu dengan Diana pada November 1977 ketika mendiang berusia 16 tahun.

Cinta mula berputik pada Julai 1980 dan pasangan itu hanya bertemu sebanyak 13 kali sebelum Charles melamar pada tahun berikutnya.

Charles dan Diana sah bergelar suami isteri pada 29 Julai 1981 dan majlis perkahwinan mereka digelar sebagai ‘perkahwinan abad ini’ kerana menjadi tumpuan lensa media seluruh dunia.

Pasangan ibarat merpati dua sejoli itu mendapat cahaya mata pertama, Putera William selepas setahun berkahwin.

Ketika itu, Camilla dan Parker pula sudah mempunyai dua anak, Thomas dan Laura.

Dua tahun selepas Charles dan Diana mendapat anak kedua, Putera Harry, kisah skandal Charles dan Camilla mula tersebar.

Berdasarkan Dokumentari Diana: In Her Own Words pada 2017, rakaman arkib menunjukkan hubungan Charles dan Diana menjadi renggang sejurus selepas perkahwinan mereka, dek kerana hubungan rapat suaminya dengan Camilla.

Menurut biografi Charles Sally Bedell Smith, anak sulung Ratu Elizabeth II itu mula menjalin hubungan sulit dengan Camilla pada 1986.

Kisah kecurangan itu pernah ditulis dalam buku Penny Junor The Duchess: Camilla Parker Bowles and Love Affair That Rocked the Crown.

Parker sangat menyedari kecurangan itu dan tidak berdaya melakukan apa-apa untuk menghalangnya.

Diana juga dikatakan mula menghidu tentang hubungan intim itu semasa temu bual dengan Ahli Biografi Diraja, Andrew Morton.

SKANDAL CAMILLAGATE

Semasa musim sejuk 1992, transkrip panggilan telefon sangat intim antara Charles dan Camilla mula tersebar sehingga digelar sebagai skandal Camillagate oleh media.

Perbualan ‘kotor’ itu antara lain menyebut:

“Charles berubah menjadi sepasang seluar dalam.”

“Saya hanya akan tinggal di dalam seluar anda, ia lebih mudah.”

Skandal Camillagate dikatakan menjadi punca utama perceraian Charles dengan Diana pada Disember 1992.

Perdana Menteri Britain ketika itu, John Major turut mengesahkan Putera dan Permaisuri Wales sah bercerai.

Perpisahan itu menimbulkan persoalan mengenai hubungan masa depan Charles kerana dia tidak dibenarkan untuk bercerai dan berkahwin semula di Gereja England masa itu.

The New York Times melaporkan, berikutan spekulasi berlarutan hingga berbulan-bulan, Charles akhirnya mengaku dia adalah pasangan yang tidak setia semasa wawancara dengan penerbit filem dokumentari, Jonathan Dimbleby.

Charles menyifatkan pada mulanya dia adalah seorang suami yang setia sehingga rumah tangga mereka bergolak dan tidak dapat diselamatkan walaupun pelbagai usaha sudah dilakukan.

Walaupun dia tidak menyebut Camilla secara spesifik sebagai kekasih hatinya, dia memanggil wanita lain itu sebagai ‘kawan baik’ dan ‘seseorang yang akan terus menjadi kawan dalam tempoh masa panjang’.

Biografi bertajuk The Prince of Wales: A Biography mengesahkan Camilla adalah wanita yang dimaksudkan.

Pada Januari 1995, Camilla pula dilaporkan bercerai dengan suaminya, Parker, kira-kira tiga tahun selepas Charles bercerai.

Selepas perceraian dengan Diana dimuktamadkan, Charles mula memperkenalkan Camilla kepada orang ramai dan ahli keluarganya.

Ini termasuk menganjurkan pesta ulang tahun kelahiran ke-50 yang penuh kemewahan di rumahnya di Highgrove, tanpa mengundang Diana. – THE GUARDIAN/INSIDER

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×