PETALING JAYA: AEON BiG terus memacu usaha membawa produk halal kepada para pelanggannya apabila produk bakeri LaBoheme di pasar raya besar itu menerima sijil pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Penyerahan sijil halal itu telah dilakukan oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Halal Jakim, Bukhari Md. AKhir kepada Pengarah Urusan AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed di AEON BiG Wangsa Maju, kelmarin.
Turut hadir, Pengarah urusan AEON BiG, Datuk Iskandar Sarudin dan Pengerusi Jawatankuasa Dalaman Halal AEON BiG, Dr. Kasuma Satria Mat Jadi.
Menurut Sheikh Farouk, AEON BiG berasa amat bersyukur kerana usaha untuk mendapatkan pengiktirafan halal oleh Jakim dapat dilaksanakan dengan sempurna.
“Terima kasih juga kami ucapkan kepada Jakim atas kerjasama yang diberikan selama ini. Usaha ini juga tidak akan berhasil tanpa kerjasama dan bantuan yang diberikan oleh semua warga kerja yang terlibat.
“Kami amat menitik beratkan kebersihan dan mutu produk makanan yang dijual di pasar raya besar kami. Ia termasuk juga mendapatkan pengiktirafan Halal oleh Jakim di mana pelanggan kami yang beragama Islam khasnya tidak akan merasa was-was,,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, bagi mendapatkan sijil pengiktirafan ini secara rasmi, setiap perincian harus diteliti untuk memastikan setiap produk yang dihasilkan menggunakan bahan mentah yang halal, berkualiti dan selamat.
La Boheme merupakan produk bakeri AEON yang boleh didapati di AEON BiG dan pasar raya AEON yang lain. Ia menawarkan pelbagai produk bakeri segar yang dibuat setiap hari termasuk pastri dan puding. Pelbagai inovasi juga dilakukan terhadap produk-produk yang dijual bagi memberi variasi kepada pelanggan.
Selain pengiktirafan yang diterima ini, AEON BiG juga sentiasa memacu perniagaannya dengan membantu pengusaha-pengusaha kecil sederhana (PKS) memasarkan produk halal mereka melalui 21 cawangannya di seluruh negara.
Bagi memperkasakan lagi usaha memasarkan barangan halal serta memberi tambah nilai kepada pelanggannya, AEON BiG juga terlibat dalam pelbagai program bersama pihak kementerian.
Antaranya kerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam memperkenalkan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM). – UTUSAN











