PETALING JAYA: Pergerakan ringgit akan terus ditentukan oleh pasaran, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, pasaran pertukaran asing terus berfungsi dan mengantara dengan berkesan.
Malah katanya, jumlah urus niaga pertukaran asing harian tempatan terus meningkat hingga mencapai purata semasa sebanyak AS$13.3 bilion (RM60.87 bilion) berbanding AS$11.3 bilion (RM51.72 bilion) pada 2021, berikutan aliran pertukaran dua hala.
Katanya, aktiviti pasaran bon kekal kukuh, disokong mantap oleh pelabur institusi dan institusi kewangan.
“Operasi pasaran BNM akan memastikan keadaan mudah tunai yang mencukupi dan pasaran kewangan berfungsi dengan teratur. Malaysia kekal sebagai ekonomi terbuka.
“Keutamaan dasar pada masa ini adalah untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil serta mengukuhkan lagi asas-asas ekonomi dalam negeri melalui pembaharuan struktur dan bukannya dengan melaksanakan kawalan modal atau menambat semula ringgit. Hal ini akan memberikan sokongan yang lebih berterusan untuk ringgit,” katanya dalam kenyataan mengulas kedudukan mata wang negara.
Ringgit terus didagangkan lemah berbanding dolar pada 4.5690/4.5775 berbanding 4.5680/4.5670 kelmarin. Selain ringgit, Bursa Malaysia turut meneruskan kejatuhan apabila jatuh 14.18 mata untuk ditutup pada 1,424.98 .
Nor Shamsiah berkata, BNM terus memantau dengan rapi kedudukan ringgit dan memastikan pasaran kewangan terus teratur dalam keadaan perkembangan luaran yang telah menyebabkan dolar Amerika Syarikat (AS) terus kukuh berbanding hampir semua mata wang, termasuk ringgit.
Jelasnya, nilai dolar AS telah menjadi kukuh dengan ketara disebabkan dasar monetari negara itu yang diperketat secara agresif.
“Keadaan kewangan global yang lebih ketat dan volatiliti yang lebih ketara dalam pasaran pertukaran asing dijangka tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Ekonomi negara telah berkembang sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua dan akan terus didorong oleh keadaan pasaran pekerja yang semakin bertambah baik dan aktiviti pelancongan yang semakin giat.
“Eksport disokong oleh produk dan pasaran negara yang sangat pelbagai. Sistem kewangan domestik mempunyai tahap permodalan yang kukuh dengan mudah tunai yang lebih daripada mencukupi. Pengantaraan kewangan juga terus menyokong ekonomi,” tambah beliau.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini menegaskan, kerajaan melalui BNM tidak bercadang untuk melaksanakan tambatan ke atas ringgit kerana langkah tersebut mempunyai risiko yang besar.
Kata beliau, sekiranya tambatan dilaksanakan, Malaysia perlu mengikut sepenuhnya dasar monetari negara mata wang yang menjadi ‘rujukan’ atau asas bagi tambatan ringgit.
Malah kata Tengku Zafrul, jika ringgit ditambat, Malaysia akan menghadapi kekangan untuk menetapkan dasar monetari dan rakyat terpaksa menanggung kos pembiayaan yang tinggi walaupun keadaan ekonomi negara tidak sama seperti di AS.- UTUSAN











