ARAU: Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan akan terus mempertahankan Parlimen Arau dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketua UMNO Bahagian Arau itu berkata, Parlimen tersebut merupakan kawasan menang yang tidak perlu direbutkan.
Katanya, beliau cukup bersemangat dalam menghadapi PRU15 dan yakin mendapat kemenangan cemerlang.
“Kita pertahankan Araulah, namun kalau saya ditakdirkan tidak jadi calon, biarlah pelapis lebih mulia dan wajar diketengahkan. Pelapis tidak boleh diambil berdasarkan maki hamun orang.
“Saya akan buat yang terbaik jika bertanding dan cukup bersemangat menghadapi PRU15. Di Perlis, saya tidak mahu tempat lain selain Arau,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Badan Perhubungan UMNO negeri akan mensaring terlebih dahulu senarai nama calon yang dibawa di peringkat bahagian sebelum di bawa ke pusat untuk dimuktamadkan siapa yang terpilih.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Azlan Man dilaporkan berkata, bahagian akan mencalonkan tapi akan dibuat saringan oleh Badan Perhubungan Negeri sebelum memperakukan kepada UMNO pusat.
Terdahulu, Shahidan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dilaporkan berkata, kerusi-kerusi menang tidak boleh diperjudikan dengan meletakkan calon yang tidak sewajarnya.
Shahidan yang cukup sinonim di kawasan Parlimen Arau menguasai Parlimen tersebut pada pilihan raya 1986, 1990, 2013 dan 2018.
Sementara itu, Shahidan berkata, Badan Perhubungan UMNO negeri tidak perlu lagi saring nama calon kerana bahagian sudah berbuat demikian sebelum menghantar ke pusat.
“(Perhubungan negeri) saring apa, kalau bahagian sudah hantar, itu lah (senarai calon). Dalam Perlembagaan (parti), sebut bahagian mencadangkan.
“Sewajarnya, Perlis dipimpin oleh orang yang kawasannya menang pilihan raya, bukan yang kalah pilihan raya. Kalau UMNO nak menang biarlah orang yang menang pimpin, kawasan sendiri kalah bagaimana nak pimpin pilihan raya,” katanya. – UTUSAN











