‘Tuduhan prestasi PM gagal tak berasas, kajian boleh dipertikai’

‘Tuduhan prestasi PM gagal tak berasas, kajian boleh dipertikai’

 SYED FAZMI SAYID MOHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dakwaan kononnya prestasi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob gagal disifatkan sebagai tidak berasas dan tanpa bersandarkan fakta tepat.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Syed Fazmi Sayid Mohammad berkata, malah dapatan berhubung prestasi berkenaan dari mana-mana pusat kajian juga boleh dipertikai.

‘Kalau kita lihat prestasi sejak Ismail Sabri mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada bulan lapan tahun lepas, telah dibentangkan secara fakta berlaku peningkatan mendadak termasuk dari segi ekonomi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Baru-baru ini Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz  membentangkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara telah mencapai 8.9 peratus tertinggi di Asia Tenggara, pengangguran kita dapat kurangkan kepada 3.8 peratus dan kita dapat kawal inflasi berdasarkan apa saja keputusan serta tindakan demi kesenangan rakyat.

“Jadi, kalau nak kata gagal, kita sudah dapat tunjukkan bahawa kerajaan kita sedang dalam proses ke arah pemulihan yang betul, maka bagi saya tak ada isu katakan kita gagal,” katanya kepada pemberita selepas meraikan Pertubuhan Kebajikan Pemulihan Dalam Komuniti (PKPDK) Orang Kurang Upaya (OKU) di Menara Berkembar Petronas di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan, bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr. Marzuki Mohamad mendakwa, kajian Merdeka Centre for Opinion merekodkan ‘markah’ Ismail Sabri menurun secara konsisten dengan purata 45 peratus sejak awal tahun ini, menyaksikan markah di bawah paras 50 peratus ini adalah markah gagal.

Syed Fazmi meminta  mana-mana individu untuk menilai dengan lebih terperinci mana-mana kajian terlebih dahulu sebelum mengemukakannya.

Katanya, ini kerana ia mungkin tidak menggambarkan pandangan kira-kira 32 juta rakyat di negara ini berbanding fakta.

“Kalau kita lihat daripada kajian, banyak kajian keluar dan saya pun boleh buat juga kajian kadar kesenangan rakyat.

“Jadi dari segi fakta atau peratusan, dia (Marzuki) kena lihat peratusan mana dia guna sebenarnya, kena tunjuk bukti peratusan mana dia dapat.

“Kita ada 32 juta rakyat Malaysia, jadi kalau setakat ambil 1,000 atau 3,000 responden, ia tak menggambarkan keseluruhan,” katanya.

Terdahulu, Syed Fazmi meraikan 47 orang yang terdiri daripada kanak-kanak dan ibu bapa yang mengadakan lawatan ke jambatan menara di sini.

Ia adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Pejabat Perdana Menteri dengan kerjasama Petronas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×