Pertahan Melayu-Islam, Ibrahim tidak gentar dilabel ‘rasis’

Pertahan Melayu-Islam, Ibrahim tidak gentar dilabel ‘rasis’

IBRAHIM ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
PERJUANGAN berteraskan Islam dan Melayu yang menjadi tunjang utama meletakkan Presiden Parti Pribumi Perkasa, Datuk Ibrahim Ali sering dilabel sebagai ‘rasis’.

Sebaliknya, pemimpin berusia 71 tahun itu tidak peduli dilabel sedemikian dan mahu kekal fokus memperjuangan Islam dan Melayu.

Ikuti pandangan bekas Ahli Parlimen Pasir Mas ketika ditemu bual wartawan Utusan Malaysia, YATIMIN ABDULLAH dan Jurukamera KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

Memuatkan artikel berkaitan…

PERJUANGAN lebih kepada bangsa Melayu sehingga ada yang melabel Datuk sebagai rasis.

IBRAHIM: Terus terang, perjuangan saya untuk orang Melayu dan agama Islam. Saya tidak kisah jika digelar rasis tetapi kenapa perlu memperbesarkan isu ini.

MCA berjuang untuk bangsa Cina. MIC untuk India dan saya berjuang untuk Melayu serta Islam secara konsisten. Saya tidak hipokrit dalam perjuangan ini.

Ini adalah cop mohor perjuangan saya bersama dengan orang Melayu dan Islam. Ada orang berjuang untuk Melayu, tetapi bila jatuh (kalah PRU) baru bercakap soal bangsa seperti yang dilakukan oleh UMNO.

Begitu juga dengan Pas yang pernah ‘berpeluk’ dengan DAP semasa bersama Pakatan Rakyat dahulu dan kemudian bergaduh pula selepas lihat kuasa sema­kin hilang.

Pernah menolak kerjasama dengan Tun Dr. Mahathir Moha­mad, akhirnya bersama beliau dalam Gabungan Tanah Air (GTA).

Masa Tun Dr. Mahathir Mohamad ada krisis dengan Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) beliau tubuh Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Bila saya jumpa dengan Tun (Dr. Mahathir), beliau menyatakan mahu menubuhan GTA. Saya tanya apa agendanya. Tun memberitahu Melayu-Islam. Jadi bila Tun bagi tahu Melayu-Islam saya terus sokong.

Walaupun sudah acap kali kalah dan ditolak dalam pilihan raya, kenapa masih memilih untuk bertanding pada PRU15?

Mungkin masih belum kenal diri saya yang sebenar. Saya ma­suk politik sebab perjuangan sebagai bekas pejuang pelajar sekitar tahun 1970-an lalu. Selepas keluar daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) saya ‘terjun’ masuk ke gelanggang politik dan terus berjuang.

Bila kita berjuang, kalah menang tidak timbul. Kalau menang Alhamdulillah, kalah pun Alhamdulillah. Yang penting bertanding itu membawa mesej mengenai komitmen saya pada perjuangan.
Dengan suasana politik negara yang kacau bilau dan jika diberikan kesihatan baik, Insya-Allah saya akan bertanding lagi. Sebab itulah perjuangan tanpa noktah.

Ramai yang kata, Datuk perlu ‘berehat’ selepas kalah selain mengambil kira faktor usia.

Dalam perjuangan usia bukan penghalang. Apa masalah de­ngan usia…Malaysia ada ramai pemimpin yang sudah berusia Tun Mahathir (97), Tengku Razaleigh Hamzah (85) Datuk Seri Anwar Ibrahim (75). Mereka semua ini tidak rehat, saya baru berusia 71.

Muda tua bukan soalnya… yang penting sihat, jujur dan bebas rasuah. Orang macam saya pengalaman banyak, kalau berhenti tidakkah ia akan merugikan masyarakat.

Rakyat gelarkan Datuk de­ngan istilah ‘katak’.

Gelaran ini bagi saya sudah tidak relevan. Hal ini kerana sudah ramai yang jadi ‘katak’ politik dan kebanyakan sudah buruk kepala.

Saya tidak melompat parti, sebaliknya dipecat. Untuk makluman saya bertanding pada PRU12 lalu atas tiket Pas dan bukan sebagai ahli parti itu dan hanya pinjam simbol sahaja. Jadi di mana saya melompatnya.

Selepas itu saya bertanding bebas tanpa mewakili mana-mana parti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×