PETALING JAYA: Pilihan raya seeloknya diadakan supaya sebuah kerajaan baharu yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dapat dipilih oleh rakyat jika gagal mengurus ekonomi dan negara dengan baik.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, namun beliau belum sampai ke tahap mahu mendesak Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen meskipun Barisan Nasional (BN) terus menekan Perdana Menteri supaya pilihan raya dapat diadakan.
“Tetapi saya pun terfikir, jika Perdana Menteri terus gagal mengurus ekonomi dan negara dengan baik, eloklah pilihan raya diadakan supaya sebuah kerajaan baharu yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dapat dipilih oleh rakyat.
“Pada masa yang sama, BN sedang menekan Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen dengan segera supaya pilihan raya dapat diadakan. Saya belum sampai ke tahap mahu mendesak Perdana Menteri supaya membubar Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu lagi, beliau melihat Ismail Sabri tidak memandang isu dihadapi rakyat masa ini sebagai sesuatu penting sekali gus menyebabkan hanya 35 peratus rakyat berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri manakala aspek pengurusan ekonomi negara mencatatkan prestasi terburuk dengan 18 peratus berpuas hati.
Beliau berkata, isu kejatuhan nilai ringgit juga tidak dipandang serius Perdana Menteri dan tidak tampil menjelaskan langkah-langkah akan diambil kerajaan untuk membendung kejatuhan nilai ringgit.
“Malah dikatakan ini bukan masalah besar. Kononnya, Malaysia tidak berada dalam krisis. As if everything is okay. Saya tahu tidak semuanya okey di luar sana.
“Setiap kali mesyuarat MPN, isu kekurangan tenaga kerja sering kali dibangkitkan dan dilaporkan kepada Kabinet. Namun, setakat ini belum ada penyelesaian yang komprehensif dalam isu ini,” katanya.
Muhyiddin berkata, kejatuhan nilai ringgit, kenaikan kadar inflasi dan keadaan ekonomi pasca pandemik memberikan kesan buruk ke atas kehidupan rakyat apabila laporan Merdeka Centre for Opinion Research pada Disember 2021 mendapati, 12 peratus rakyat mula ikat perut dengan makan hanya sekali atau dua kali sehari, 12 peratus tangguh rawatan perubatan dan 31 peratus lewat bayar hutang dan bil kerana tiada wang.
“Selain itu, kajian oleh Mindshare sebuah entiti bukan kerajaan, menunjukkan 61 peratus rakyat Malaysia telah berada dalam kumpulan berpendapatan terbawah (B60) iaitu dengan pendapatan isi rumah di bawah RM5,000 sebulan, selepas pandemik Covid-19 melanda negara. 76 peratus daripada kumpulan ini berpendapatan kurang RM3,000 sebulan,” katanya. – UTUSAN











