Dunia digemparkan dengan kemangkatan monarki Britain yang paling lama bertakhta dalam sejarah negara itu, Ratu Elizabeth II.
Baginda menghembuskan nafas terakhir ketika berusia 96 tahun di Istana Balmoral, Aberdeenshire di Scotland.
Ratu Elizabeth atau nama penuhnya, Elizabeth Alexandra Mary dilahirkan pada 21 April 1926 di London, England.
Elizabeth diangkat menjadi Ratu Britain pada 6 Februari 1952 selepas bapanya, Raja George VI mangkat disebabkan masalah kesihatan.
Pada ketika itu, Elizabeth hanya berusia 25 tahun sekali gus menjadikannya sebagai monarki Britain yang paling muda.
Sepanjang pemerintahan selama tujuh dekad di atas takhta, Ratu Elizabeth mencatatkan pelbagai pencapaian penting.
Antaranya, baginda memerintah selama 70 tahun 214 hari, lebih lama berbanding mana-mana monarki lain dalam sejarah Britain.
Rekod terdahulu dipegang moyangnya, permaisuri Victoria, yang memerintah selama 63 tahun, tujuh bulan dan dua hari sehingga 1901.
Sejak 1952, Ratu Elizabeth mengembara ke lebih 100 negara, satu lagi rekod bagi monarki Britain, serta melakukan lebih 150 kunjungan ke negara Komanwel.
Pengembaraan Ratu Elizabeth boleh dikatakan bersamaan 42 kali mengelilingi dunia sebelum baginda berhenti melancong ke luar negara pada November 2015 ketika berusia 89 tahun.
Ratu Elizabeth turut menjadi monarki Britain pertama yang berucap pada sesi bersama Kongress di Amerika Syarikat (AS) selepas Perang Teluk tamat pada 1990.
Sebagai Ratu Britain, baginda melaksanakan hampir 21,000 tugasan diraja, memberikan perkenan diraja kepada 4,000 undang-undang dan menerima 112 lawatan ketua negara asing.
Semasa pemerintahannya, seramai 15 Perdana Menteri sempat berkhidmat di bawah baginda bermula dari Winston Churchill sehingga terakhir, Liz Truss yang dilantik baru-baru ini.
Baginda juga menjadi ikon bagi negara Komanwel, penaung lebih 600 pertubuhan dan badan kebajikan, serta memainkan peranan penting dalam hubungan dua hala Britain dengan kebanyakan negara asing.
Ratu Elizabeth mendedikasikan seluruh hayatnya berkhidmat kepada rakyat Britain.
Malah, baginda kerap memangku tugas awamnya secara bersendirian selepas persaraan Duke of Edinburgh, Putera Philip pada 2017.
Ratu Elizabeth seimbangkan kehidupannya sebagai Ratu dan pada masa yang sama menjaga keperluan keluarganya.
Peranan hakiki baginda sebagai isteri, ibu dan nenek tidak boleh dipandang sebelah mata.
Bagaimanapun, baginda juga tidak terlepas dengan pelbagai masalah terutamanya melibatkan anak-anaknya.
KEMELUT RUMAH TANGGA ANAK
Pada tahun 1992, tiga daripada empat anak baginda bercerai.
Anak lelaki kedua Ratu Elizabeth iaitu Duke of York, Putera Andrew dan isterinya, Sarah Ferguson berpisah.
Perkahwinan Puteri Anne dengan suaminya, Mark Philips berakhir dengan penceraian.
Malah, paling popular membabitkan keruntuhan perkahwinan anak sulungnya, Charles dan isterinya, Puteri Diana pada 1990an.
KEMATIAN PUTERI DIANA
Keluarga diraja Britain berdepan tekanan malah Ratu Elizabeth tidak terlepas daripada kecaman rakyat selepas kematian Puteri Wales, Diana dalam satu kemalangan di Perancis pada Ogos 1997.
Ketika orang ramai berkumpul di sekitar perkarangan istana di London untuk meratapi kehilangan Diana, Ratu Elizabeth kelihatan keberatan memberi tumpuan yang sering dilakukan semasa berdepan detik sebegitu.
Ratu Elizabeth mungkin merasakan sebagai seorang nenek yang prihatin, baginda perlu berada di samping cucunya, Putera William dan Harry untuk pulih daripada kejutan berita kematian ibu mereka.
Akhirnya, Ratu Elizabeth membuat siaran langsung di televisyen dengan memberikan penghormatan peribadi kepada Puteri Diana.
Ia merupakan satu-satunya peristiwa ketika pemerintahan baginda apabila ada pengkritik berpandangan monarki Britain tidak akan kekal lama.
DAKWAAN SKANDAL PUTERA ANDREW
Monarki Britain terpalit dengan kontroversi selepas anak kedua Ratu Elizabeth, Putera Andrew didakwa terlibat dalam skandal seks.
Virginia Roberts Giuffre, 38, memfailkan saman terhadap Duke of York itu dengan mendakwa beliau menderanya secara seksual ketika wanita itu berusia 17 tahun.
Putera Andrew secara konsisten menafikan dakwaan itu dan Istana Buckingham juga enggan memberi sebarang komen berhubung kes tersebut yang masih berjalan.
PENDEDAHAN HARRY-MEGHAN
Kontroversi keluarga diraja Britain sekali lagi menjadi buah mulut gara-gara pendedahan Putera Harry dan isterinya, Meghan Markle berhubung dakwaan rasisme dalam satu wawancara eksklusif bersama pengacara terkenal, Oprah Winfrey.
Dalam wawancara itu, Putera Harry mendedahkan mengenai kerabat diraja yang mempersoalkan warna kulit anaknya, Archie ketika Meghan sedang hamil.
Wawancara itu mencalarkan imej keluarga diraja Britain sehingga Ratu Elizabeth turut menerima kecaman.
Bagaimanapun, Winfrey mengesahkan soalan mengenai warna kulit anak sulung pasangan Harry dan Meghan itu bukan diajukan oleh Ratu Elizabeth mahupun Putera Philip.
Pada 2020, Harry dan Meghan mengejutkan dunia dengan mengumumkan akan berhenti daripada tugas diraja dan berpindah ke Amerika Syarikat (AS).
Keluarga diraja berdepan tekanan berterusan berhubung isu yang lain termasuk kemalangan kereta Putera Philip dan persahabatan Duke of York dengan ahli perniagaan AS, Jeffrey Epstein yang disabitkan kesalahan.
Di sebalik pelbagai kontroversi, Ratu Elizabeth tetap tabah dan tidak pernah kelihatan terkesan malah meneruskan komitmennya sehingga akhir hayat. – AFP/AGENSI










