‘Tengok kekejaman tentera Jepun depan mata’

‘Tengok kekejaman tentera Jepun depan mata’

Salleh Din melihat sendiri peristiwa hitam semasa penjajahan Jepun pada Perang Dunia Kedua sekitar tahun 1941 di kampung halamannya di Kampung Guar Kepah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ONAK duri dilalui orang Melayu di bawah cengkaman penjajah, wajar diceritakan kepada generasi kini sebagai penghayatan erti kemerdekaan yang sebenar.

Salleh Din, 90-an, antara individu melihat sendiri peristiwa hitam semasa penjajahan Jepun pada Perang Dunia Kedua sekitar tahun 1941 di kampung halamannya yang terletak di Kampung Guar Kepah.

Salleh atau lebih mesra disapa sebagai Pak Andak Leh berkata, kekejaman dilakukan tentera Jepun disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan.

“Ketika Jepun masuk ke kampung, mereka kerah orang lelaki jadi buruh paksa untuk membina kubu pertahanan di Permatang Kuching (kira-kira 13 kilometer dari Kampung Guar Kepah).

“Kalau enggan kena pukul, malah ada yang kena pancung. Kepala itu pula akan dipacak atas besi bagi orang kampung tengok,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kediamannya di Kampung Guar Kepah, baru-baru ini.

Bapa tujuh anak itu memberitahu orang luar dan penduduk kampung juga tidak dibenarkan keluar masuk ke kampung itu sesuka hati, bagi mengelakkan pergerakan Jepun di kampung tersebut dihidu pihak musuh.

“Kalau kita curi-curi keluar, siap sedia lah kena seksa. Dalam satu peristiwa, bapa tiri saya Haji Said merupakan penjual ayam, kehabisan bekalan ayam di kedainya. Jadi, nak dapatkan bekalan ayam dia kena pergi ambil ayam dekat luar kampung.

“Disebabkan Jepun masa itu tak bagi kebenaran penduduk kampung keluar, dia (Said) terpaksa pakat dengan tauke (berbangsa) Cina yang juga jual ayam (untuk) masuk ke kampung. Jepun hantar pegawai Jepun berbangsa Benggali. Teruk ayah kena bantai kena sepak terajang sampai tersungkur,” katanya.

Setiap hari ada sahaja penduduk kampung diseksa oleh tentera Jepun dan konco-konconya selain gemar membuat onar di kampung. Lebih menyedihkan ada orang Melayu yang bekerja sebagai pegawai Jepun menjadi tali barut Jepun.

Salleh kini banyak menghabiskan masa di rumah bersama isterinya, Eshah Yaacob, 65 berikutan menghidap penyakit strok sejak dua tahun yang lalu.

Jambatan Merdeka
Dalam keperitan dilalui bersama penduduk kampung yang lain, masih segar di ingatannya apabila berpeluang menyaksikan sendiri pembukaan Jambatan Merdeka oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, iaitu kira-kira dua kilometer dari kediamannya sebaik sahaja mengumumkan Tanah Melayu bebas daripada cengkaman penjajah.

“Masa tu saya tengok Tunku Abdul Rahman berdiri atas jambatan (Merdeka) menyeru penduduk Kampung Guar Kepah dan penduduk kampung terdekat agar tak perlu lagi bimbang sebab Jepun dah kalah, dan kita sudah merdeka. Lepas tu dia laung merdeka tiga kali,” katanya.
Salleh, yang merupakan datuk saudara kepada bekas Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah generasi pertama menyaksikan peristiwa perasmian Jambatan Merdeka oleh Tunku Abdul Rahman pada 31 Ogos 1957.

‘parit gila’
Sementara itu, anak ketiga Salleh, Md Khalil Salleh, 54 berkata antara tinggalan sejarah masih tersisa di kampung kelahirannya itu ialah sebuah parit dikenali sebagai ‘parit gila’ yang digunakan penduduk kampung terdahulu untuk menangkis serangan tentera Jepun.

“Kejadian parit gila adalah salah satu peristiwa yang diceritakan oleh generasi terdahulu semasa Jepun datang menyerang kampung ini sekitar 1940-an. Ia (parit gila) menggambarkan keadaan huru-hara di dalam parit berkenaan mengenai serangan Jepun ketika itu di mana penduduk kampung menggunakan parit tersebut sebagai laluan yang dijadikan kubu untuk menangkis serangan musuh.

“Semasa serangan tersebut, orang kampung telah lari lintang pukang seperti orang gila hendak menyelamatkan diri dari serangan Jepun. Panjang parit gila dianggarkan sejauh dua kilometer. Saya gambarkan suasana ketika itu amat kelam kabut,” katanya yang pernah berkhidmat sebagai anggota Angkatan Tentera Malaysia selama 16 tahun.

Antara tinggalan sejarah lain yang masih kekal di kampung tersebut ialah sebuah kubu pertahanan yang dibina berhadapan Sungai Muda, Kepala Batas yang kini sudah ditenggelami semak samun ekoran tiada pihak yang ingin memelihara tinggalan tersebut.

“Diharap kerajaan negeri atau pihak berkepentingan datang ke kampung ini untuk lakukan sesuatu contohnya memelihara tinggalan sejarah yang dirasakan begitu berharga kerana ia melibatkan peristiwa bersejarah bukan sahaja di kampung ini malah sejarah negeri Pulau Pinang itu sendiri.

“Jika ia tidak dipelihara maka, maka tinggalan tersebut akan lenyap ditelan zaman dan generasi akan datang tidak berpeluang untuk melihat sendiri kesan sejarah yang pernah berlaku di kampung ini,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×