Korea denda Google, Meta 100 bilion won

Korea denda Google, Meta 100 bilion won

Gambar Hiasan - Google Headquarters
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Korea Selatan menyaman Google dan Meta sebanyak 100 bilion won (AS$72 juta/ RM325.8 juta) kerana menjejaki tingkah laku dalam talian pengguna tanpa kebenaran mereka dan menggunakan data berkenaan untuk pengiklanan.

Suruhanjaya Perlindungan dan Maklumat Peribadi Korea Selatan berkata, ia mendenda Google sebanyak 69.2 bilion won (AS$50 juta/ RM313.13 juta) dan Meta 30.8 bilion won (AS$22 juta/ RM99.6 juta) selepas mendapati, amalan perniagaan kedua-dua syarikat menyebabkan pelanggaran privasi yang serius.

“Denda itu merupakan hukuman terbesar yang pernah dikenakan oleh Korea Selatan bagi pelanggaran undang-undang privasi,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan akhbar, lapor Reuters.

Menurut suruhanjaya itu, Google dan Meta, yang mengendalikan Facebook dan Instagram, tidak memaklumkan pengguna dengan jelas atau mendapatkan persetujuan mereka semasa mengumpul dan menganalisis maklumat tentang corak penggunaan dalam talian mereka dan menggunakan data tersebut untuk pengiklanan.

Suruhanjaya itu turut mengarahkan kedua-dua syarikat menyediakan proses kawalan yang lebih “mudah dan jelas” kepada orang awam, sama ada mereka bersedia berkongsi maklumat tentang perkara yang mereka lakukan dalam talian atau sebaliknya.

Google dan Meta bagaimanapun tidak memberi sebarang komen mengenai denda itu. Kedua-dua syarikat boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 90 hari selepas secara rasmi menerima keputusan suruhanjaya berkenaan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×