Khairy disebut-sebut tanding di Port Dickson - Utusan Malaysia

Khairy disebut-sebut tanding di Port Dickson

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin disebut-sebut akan bertanding kerusi Parlimen Port Dickson pada Pilihan Raya ke-15 (PRU15) akan datang.

Utusan Malaysia difahamkan, gerak kerja bagi mengukuhkan posisi sedang diatur oleh jentera UMNO di peringkat Bahagian Port Dickson.

“Sah atau tidak Khairy ke Port Dickson? Confirm. Dia sudah suruh Ketua UMNO Port Dickson, Mohd. Faizal Ramli dan timbalan, Datuk Abdul Rahman Redza buat kerja,” kata sumber di sini, semalam.

Katanya, strategi itu pada peringkat awal tidak dihebohkan kerana tidak mahu disabotaj pihak lawan.

Kerusi Parlimen Port Dickson kini disandang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Cabang PKR Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun pada 6 September dilaporkan berkata, pihaknya ‘masih menagih kewibawaan’ Presiden PKR itu untuk mempertahankan Parlimen Port Dickson.

Sementara itu, sumber UMNO mendakwa kepimpinan tertinggi parti tiada masalah dengan percaturan Khairy untuk bertanding di Parlimen Port Dickson.

Malah dakwanya, strategi itu lebih baik berbanding menyerahkan kerusi tersebut kepada komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MIC.

Sementara itu di Alor Setar, gurauan Ahli Parlimen Rembau itu mahu bertanding di Kedah juga dilihat seakan-akan benar kerana terdapat perbincangan mengenai perkara tersebut sebelum ini.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Zambri Mat memaklumkan, memang terdapat ura-ura untuk mencalonkan Menteri Kesihatan itu di Parlimen Alor Setar pada PRU15.

“Dalam mesyuarat UMNO Cawangan, keseluruhan usul mahu Datuk Mohd. Yusof Ismail (Ketua UMNO Bahagian Alor Setar) bertanding di Parlimen Alor Setar, tempat MCA yang kalah dua penggal.

“Juga dibincangkan kemungkinan membawa Khairy bertanding di Parlimen Alor Setar. Ingatkan sulit kami berdua sahaja tahu.

“Rupanya semasa mesyuarat bersama beberapa agensi di bawah Majlis Perundingan Usahawan yang dihadiri hampir 30 orang, Datuk Mohd. Yusof ‘berjiwa besar’ memaklumkan kepada pegawai pejabat kesihatan daerah agar bersedia kerana Menteri nak bertanding di Parlimen Alor Setar,” katanya dalam kemas kini status di Facebook miliknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×