SINGAPURA: Harga minyak mentah jatuh dalam sesi dagangan di Asia semalam, berikutan prospek kenaikan kadar faedah selanjutnya di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah untuk meredakan inflasi selain sekatan ketat Covid-19 di China membayangi permintaan global.
Niaga hadapan minyak mentah Brent turun 78 sen atau 0.9 peratus kepada AS$86.01 setong selepas mencatatkan 4.1 peratus lebih tinggi pada Jumaat lepas.
Minyak mentah AS West Texas Intermediate berada pada AS$92.11 setong, turun 73 sen atau 0.8 peratus selepas kenaikan 3.9 peratus pada sesi sebelumnya, lapor Reuters.
Harga sedikit berubah minggu lalu, kerana keuntungan daripada pemotongan bekalan nominal oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu termasuk Russia (OPEC+) telah diimbangi oleh penutupan yang berterusan di China, pengimport minyak mentah utama dunia.
Permintaan minyak China boleh menguncup buat kali pertama dalam dua dekad tahun ini, kerana dasar sifar-Covid Beijing membuatkan orang ramai berada di rumah semasa cuti, sekali gus mengurangkan penggunaan bahan api.
“Kebimbangan permintaan tertumpu pada kesan kenaikan kadar faedah untuk memerangi inflasi dan dasar sifar-Covid China,” tulis penganalisis Commonwealth Bank of Australia, Vivek Dhar.
Bank Pusat Eropah dan Rizab Persekutuan AS bersedia untuk meningkatkan lagi kadar faedah bagi menangani inflasi, yang boleh menaikkan nilai dolar AS berbanding mata wang lain serta menjadikan minyak dalam denominasi dolar lebih mahal untuk pelabur.
Namun, harga minyak global mungkin melantun menjelang akhir tahun, bekalan dijangka semakin ketat apabila embargo Kesatuan Eropah ke atas minyak Russia berkuat kuasa pada 5 Disember nanti. – AGENSI










