OPR: Bank-bank naikkan kadar asas pinjaman

OPR: Bank-bank naikkan kadar asas pinjaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank-bank di dalam negara mula menaikkan kadar asas pinjaman masing-masing susulan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) minggu lalu.

Hong Leong Bank (HLB) dan Hong Leong Islamic Bank (HLIB) meningkatkan kadar asas standard (SBR) kepada 2.50 peratus berkuat kuasa Selasa ini.

Menurut kenyataan bank itu, peningkatan tersebut adalah sejajar dengan kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas oleh BNM.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, kadar asas (BR) dan kadar asas Islam (IBR) dinaikkan kepada 3.38 peratus daripada 3.13 peratus, manakala kadar pinjaman asas (BLR) dan kadar pembiayaan Islam (IFR) di semak naik kepada 6.39 peratus daripada 6.14 peratus.

Dalam kenyataan lain, CIMB Bank Bhd. dan CIMB Islamic Bank Bhd. juga menaikkan sebanyak 25 mata asas SBR, BR dan Kadar Deposit Tetap/ Kadar Pendapatan Pulangan Tetap Account-i berkuat kuasa hari ini.

“BR disemak naik daripada 3.25 peratus kepada 3.50 peratus dan BLR/kadar pembiayaan asas (BFR) naik daripada 6.10 peratus kepada 6.35 peratus,” jelasnya.

OCBC Bank (Malaysia) Berhad (OCBC Malaysia) dan anak syarikat perbankan Islamnya, OCBC Al-Amin Bank Berhad turut meningkatkan SBR, BR dan BLR/BFR sebanyak 0.25 peratus berkuat kuasa Rabu.

Katanya, semua kadar pinjaman dan pembiayaan berasaskan SBR, BR dan BLR/BFR akan dinaikkan pada kadar yang sama.

“Sementara itu, semua kadar niaga deposit tetap konvensional dan deposit bertempoh Islam juga akan dinaikkan sebanyak 0.25 peratus pada hari yang sama.

“Dengan langkah di atas, SBR OCBC Malaysia dinaikkan daripada 2.25 peratus kepada 2.50 peratus, BR daripada 3.08 peratus kepada 3.33 peratus, dan BLR/BFR daripada 6.01 peratus kepada 6.26 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, Affin Bank Bhd, Affin Islamic Bank Bhd dan Affin Hwang Investment Bank Bhd. menaikkan kadar rujukan masing-masing sebanyak 25 mata asas berkuat kuasa semalam.

Affin Bank dalam kenyataannya memberitahu, berikutan itu, Kadar Deposit Tetap Affin Bank dan Kadar Deposit-i Berjangka Affin Islamic akan turut dinaikkan berkuat kuasa pada tarikh sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN