SSPN terus dipercayai, catat RM12.65 bilion simpanan

Simpan SSPN terus dipercayai, catat RM12.65 bilion simpanan

MAJLIS pertukaran memorandum persefahaman antara PTPTN dan PPZ-MAIWP di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah deposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) mencatatkan pencapaian yang sangat memberangsangkan apabila mencatatkan sebanyak RM12.65 bilion simpanan sehingga 31 Julai lalu.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Apli Yusoff berkata, jumlah simpanan berkenaan melibatkan sebanyak 5.5 juta akaun pelanggan yang diperkenalkan sejak 2004.

Apli berkata, prestasi tersebut membuktikan Simpan SSPN terus diyakini sebagai produk simpanan terbaik dan menjadi pilihan utama ibu bapa untuk perancangan kewangan pendidikan tinggi anak-anak.

“Mula diperkenal pada tahun 2004, Simpan SSPN yang terdiri daripada Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada pendeposit.

“Antaranya, pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak.

“Manfaat lain ialah dividen yang kompetitif dan simpanan yang dijamin kerajaan. Yang paling penting, Simpan SSPN juga adalah produk yang patuh syariah. Oleh itu, menabunglah di Simpan SSPN tanpa ragu-ragu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara PTPTN dan Pusat Pungutan Zakat–Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) di sini semalam.

Mengulas mengenai kerjasama itu, Apli berkata, PTPTN dan PPZ-MAIWP beriltizam untuk berganding bahu membina rangkaian strategik dan meneroka peluang terbaik yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dan masyarakat Islam.

“Kerjasama PPZ-MAIWP dilihat sangat tepat pada masanya sebagai salah satu usaha proaktif PTPTN untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan penabungan demi masa depan pendidikan yang terjamin.

“Selain itu, kerjasama ini juga bertujuan mendidik masyarakat tentang kewajipan membayar zakat dan mengoptimumkan potensi dan keberhasilan zakat merangkumi aspek kutipan, pengurusan zakat wakalah dan agihan zakat,” katanya.

Dalam pada itu katanya, PTPTN juga turut melancarkan Kempen Skim Didik Zakat dan Simpan SSPN Prime yang merupakan salah satu skop kerjasama utama dalam MoU antara PTPTN dan PPZ-MAIWP.

“Dalam usaha menggalakkan amalan penabungan di kalangan masyarakat, pelancaran Kempen Skim Didik Zakat dan Simpan SSPN Prime dilihat sebagai inisiatif terbaik yang dapat memberi manfaat dan pulangan berganda kepada para pendeposit.

“Melalui kempen ini, ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak-anak berumur 15 tahun ke bawah perlu menunaikan zakat harta mengikut kadar sebenar jumlah taksiran atau membayar serendah RM100 setiap seorang di PPZ-MAIWP dalam tempoh kempen berlangsung,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×