JOHOR BAHRU: Seramai 20,000 usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) di seluruh negara yang terjejas teruk akibat Covid-19 dibantu SIRIM melibatkan dana kira-kira RM100 juta bagi meneruskan perniagaan sepanjang pandemik.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad berkata, bantuan tersebut berjaya meringankan bebanan usahawan untuk terus bertahan dan bangkit semula sehingga mampu menjana pendapatan sehingga RM7 bilion.
“Kita dapati bantuan yang SIRIM berikan sangat berjaya dalam membantu mereka untuk bangkit kembali malah ada usahawan menjadi lebih maju dari dahulu.
“IKS amat penting untuk dibantu kerana mereka merupakan tulang belakang industri bagi negeri dan negara kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Keterlibatan SIRIM-Industri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han.
Ahmad Sabirin berkata, pihaknya menerima banyak permohonan daripada usahawan IKS sehingga menyebabkan program bantuan pada tahun ini ditutup lebih awal.
Sebanyak RM15 juta sudah diluluskan setakat ini bagi membantu IKS pada tahun depan dan permohonan masih lagi dibuka.
“SIRIM telah mengambil pelbagai langkah untuk mempertingkatkan usaha membantu perkembangan industri menerusi program-program teknologi perindustrian dan kualiti.
“Antaranya, penggunaan teknologi termaju dalam proses reka bentuk, pengeluaran dan kejuteraan,” katanya.
Terdahulu, pada majlis itu, SIRIM turut membuat pertukaran Perjanjian Kerjasama dengan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) dan Krohne (M) Sdn. Bhd. serta pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Prolexus Berhad dan Billion Prima Sdn. Bhd.
Perjanjian kerjasama antara SIRIM, KPRJ serta Krohne itu adalah dalam bidang perkhidmatan teknikal dan penyelidikan projek ‘high pressure gas metering calibration centre’ di tanah rancangan mukim Senai, Kulai.
SIRIM dan Billion Prima pula bekerjasama dalam bidang penyelidikan ‘non-intrusive inspection security system and information technology’.
Sementara itu, kerjasama SIRIM dan Prolexus Berhad akan melibatkan usahasama dalam bidang penyelidikan bahan buangan dan sola PV hibrid serta sistem penyimpanan bateri. – UTUSAN











