PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah agensi terbaik yang boleh dipertanggungjawab untuk menguatkuasakan Akta Pendanaan Politik di negara ini.
Dengan penguatkuasaannya, SPR boleh menetapkan peraturan tentang sumbangan dan perbelanjaan politik bagi memastikan pilihan raya yang bersih dan SPRM pula bertindak sebagai pihak yang mengambil tindakan sekiranya berlaku perlanggaran.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengamal undang-undang, Mior Nor Haidir Suhaimi berkata, gabungan dua agensi berkenaan adalah pilihan terbaik membendung penyalahgunaan dana politik dalam pilihan raya.
“SPR adalah agensi yang terbaik untuk kuatkuasakan akta tersebut kerana agensi itu merupakan suruhanjaya. Namun, ia juga perlu bergantung kepada SPRM untuk penguatkuasaan apabila berlaku pelanggaran terhadap akta berkenaan.
“Saya fikir, ini adalah jalan terbaik berhubung pendanaan politik ini terutama bagi mengelak parti politik menerima jumlah sumbangan berlebihan selain terlibat dengan pengubahan wang haram menerusi dana yang dikreditkan ke dalam akaun parti.
“Pada masa ini kecuali peruntukan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, tiada undang-undang di Malaysia untuk mengurus pendanaan politik, sekali gus mewujudkan ekosistem yang membuka kepada amalan rasuah,” katanya.
Pada 19 Mei lalu, Perdana Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Rang Undang-undang (RUU) Pendanaan Politik secara dasarnya dipersetujui untuk dilaksanakan dan skopnya akan dibentang pada mesyuarat jemaah Menteri.
Mengulas lanjut, Mior Nor Haidir berkata, Akta Pendanaan Politik secara dasarnya sudah lama diguna pakai di negara Barat supaya ahli politik atau mana-mana individu tidak menjadi mangsa kerana menerima atau memberi dana kepada parti politik.
“Penggubalan undang-undang pendanaan politik akan menjadi permulaan baik kepada sistem demokrasi di Malaysia untuk membendung gejala rasuah dan ketidakcekapan dalam peraturan sistem pilihan raya negara,” katanya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, RUU Berkaitan Sumbangan Politik dibentangkan pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, penggubalan RUU ini yang dipersetujui jemaah menteri pada 7 September lalu mengambil kira pandangan pihak berkepentingan termasuk parti politik melalui sesi libat urus yang diadakan.
Beliau berkata, kerangka perundangan yang dicadangkan bagi RUU ini akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Teknikal Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik.
“(Perkara itu) untuk diperhalusi sebelum dibentangkan dalam Mesyuarat Parlimen kelak.
“Ia akan menyusul dengan keputusan supaya RUU ini digubal di mana Pengawal Sumbangan Politik dijadikan sebuah entiti bebas bagi mengawal selia sumbangan politik di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam. – UTUSAN











