LIPIS: Seorang bekas pengawal kawasan, Kamarudin Li, 83, masih mengingati kejadian pada 1955 apabila komunis melakukan serang hendap di Kuala Tembeling, Jerantut, dekat sini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Kamarudin berkata, kejadian peluru tembakan komunis berselisih dan melintas atas kepalanya cukup menggerunkan serta menjadi peristiwa yang tidak dilupakannya.
Ketika itu, katanya, dia hanya mampu mengucap dua kalimah syahadah dan menyebut beberapa ayat al-Quran sebagai ikhtiar pelindung daripada dihujani peluru musuh.
Ujarnya, dia bersyukur hayatnya masih dipelihara oleh Allah SWT, jika sebaliknya kemungkinan kepalanya bersepai dan tinggal nama sahaja.
“Ketika kejadian, saya bersama 10 rakan home guard diketuai Pawang Nong Santan dari Kampung Hulu Cheka membuat rondaan di kawasan hutan kampung tersebut apabila diarahkan oleh seorang pegawai British dari Balai Polis Kuala Lipis.
“Kami diarahkan oleh pegawai polis berkenaan meronda di kawasan hutan kampung itu kerana komunis kerap membuat kacau dan mengganggu penduduk setempat serta meminta makanan untuk dibawa ke dalam hutan,” katanya di Kampung Tanjung Buluh, di sini semalam.
Menurut Kamarudin, operasi yang bermula pukul 9.30 malam turut bersama seorang anggota polis selaku incaj pasukan dikenali sebagai Wan Deraman pada mulanya agak tenang kemudian menjadi gempar apabila anggota home guard mula dihujani peluru pengganas.
“Pawang Nong berteriak ‘Allahuakbar’ sambil meminta kami berlindung dalam suasana gelap dan membalas serangan musuh.
“Dalam keadaan kelam kabut, saya berasa beberapa kali hujung topi dan atas kepala seakan-akan berselisih dengan peluru senapang pengganas termasuk bunyi (peluru) ketika terkena pokok,” katanya yang berusia 18 tahun semasa kejadian.
Bercerita selanjutnya, Kamarudin berkata, dalam pertempuran itu pasukan home guard yang cuma berbekalkan senapang jenis Johnson atau dipanggil senapang Cap Burung Hantu berjaya menembak mati seorang pengganas komunis manakala musuh lain lari meninggalkan kawasan itu.
“Mayat pengganas itu yang berlumuran darah dibawa keluar dan dipamerkan di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Tembeling untuk tontonan orang ramai.
“Keesokannya, Sultan Pahang berangkat ke Kuala Tembeling untuk merai serta memberikan penghargaan kejayaan pasukan home guard dan tidak lama kemudian, saya diundang ke Pekan untuk menerima Anugerah Keberanian Termuda oleh pihak istana,” katanya.
Menurut Kamarudin, tugasnya sebagai home guard bukan sahaja mengawal kawasan, tetapi bertindak sebagai pemandu bot Sungai Jelai untuk mengangkut anggota polis dan penduduk dari bandar Kuala Lipis ke Kuala Medang.
“Benda (peralatan) yang masih saya simpan sehingga hari ini ialah sebuah enjin bot jenis ‘Canada’ berusia 60 tahun dibeli daripada seorang rakan dengan harga RM200.
“Enjin yang mempunyai kelajuan cuma 20 kuasa kuda masih saya simpan sehingga ini pernah digunakan untuk mengangkut penduduk termasuk anggota polis dan home guard ketika membuat rondaan di Sungai Jelai pada awal 1960-an,” katanya. – UTUSAN











