KULAI: Pakatan Harapan (PH) telah memuktamadkan pembahagian kerusi antara parti komponennya bagi beberapa negeri untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara itu telah dimuktamadkan gabungan berkenaan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH, yang diadakan semalam.
“Perbincangan tentang agihan kerusi untuk PRU15 masih berjalan, namun saya difahamkan dalam mesyuarat semalam, ada beberapa resolusi telah berjaya dicapai dan perkara itu telah dibawa untuk pengetahuan setiap parti komponen.
“Antara perkara berkenaan adalah beberapa negeri Semenanjung telah selesai melakukan agihan kerusi untuk PRU15, ada tiga atau empat negeri yang telah selesai berbincang,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis perasmian Ibu Pejabat DAP Johor yang baharu di Taman Tropika, di sini semalam.
Yang turut hadir, Penasihat DAP, Tan Kok Wai; Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong; Timbalan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching dan Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali.
Sementara itu, Siew Fook turut memberitahu Majlis Presiden PH juga telah menerima permohonan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk menyertai PH secara rasmi, hari ini.
“Hari ini, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah menghantar permohonan parti itu untuk menyertai PH secara rasmi kepada Majlis Presiden PH dan kita akan bincangkan permohonan ini dalam mesyuarat akan datang, mungkin dua atau tiga minggu (akan maklumkan).
“Kami melihat permohonan daripada Muda untuk menyertai PH ini daripada sudut positif, iaitu kami mempunyai satu keistimewaan dan tarikan tersendiri,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun turut memberitahu perbincangan berhubung agihan kerusi menjelang PRU15 yang dibuat boleh terus dijalankan dan tiada keperluan bagi pihaknya untuk menunggu keputusan permohonan kemasukan Muda.
“Sekiranya sudah ada keputusan (penyertaan kemasukan Muda ke dalam PH), itu (agihan kerusi buat Muda) akan dibincangkan kemudian,” ujarnya.
Ditanya kemungkinan akan dicabar oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada PRU15, beliau mengakui ‘gementar’, namun tetap akan mempertahankan kerusi Parlimen Seremban yang dimenangi sejak 2013.
“Ya saya akui bimbang, memang menggugat (sekiranya Khairy Jamaluddin bertanding di Parlimen Seremban) kerana akan ada persaingan yang sengit, sebab dia bukan calang-calang calon.
“Itu terpulang kepada beliau kalau nak datang atau tidak, saya tidak cabar sesiapa tetapi kalau ada yang mahu mencabar saya, saya juga pantang dicabar,” katanya. – UTUSAN











