Akhbar baru-baru ini melaporkan gangguan seksual dalam kalangan kanak-kanak semakin membimbangkan.
Gangguan berkenaan meninggalkan kesan mendalam terhadap mangsa bukan sahaja fizikal, malah mental.
Apatah lagi jika mangsa terdiri daripada kalangan anak-anak kecil yang masih belum mengerti dan si pelaku pula adalah dalam kalangan ahli keluarga sendiri.
Ia akan memberikan impak yang lebih besar terhadap kesihatan mental anak-anak kecil sepanjang fasa membesar.
Profesor di Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Noor Azniza Ishak berkata, kesan psikologi terhadap mangsa yang diganggu secara seksual oleh ahli keluarga sendiri adalah lebih teruk berbanding jika pelaku adalah orang luar.
Ia melibatkan jangka masa yang lebih lama kerana pelaku adalah ahli keluarga yang ada di sekitar setiap masa.
“Lebih-lebih lagi apabila ia berlaku ketika mangsa masih lagi anak kecil membuatkan mangsa keliru dan tidak boleh membezakan sama ada itu perbuatan baik atau buruk,” katanya kepada Seri.
Mengikut psikologi, kanak-kanak kecil berusia tujuh tahun dan ke bawah adalah yang paling mudah meniru perbuatan sama ada baik atau buruk kerana umur sedemikian adalah fasa ‘menyerap’ segala perkara yang dipamerkan di sekeliling.
Anak-anak didedahkan dengan perkara dan perbuatan tidak baik oleh ahli keluarga berkemungkinan untuk membesar sebagai anak yang ‘rosak’ dan keliru dengan sekeliling.
Kata Noor Azniza, depresi dan kemurungan terjadi akibat daripada perbuatan buruk ahli keluarga juga lebih mendalam.
Rasa tertekan sepanjang masa dan agak sukar ditangani kerana memerlukan masa untuk memisahkan mangsa dan si pelaku.
“Anak-anak mengalami gangguan sedemikian perlu diselamatkan dengan kadar segera bagi mengelakkan mereka terus hanyut dengan perkara-perkara negatif.
“Jika dibiarkan berterusan ia akan menyebabkan gangguan emosi itu menjadi dominan dalam diri anak-anak apabila mereka meningkat dewasa.
“Gangguan itu seterusnya akan membawa pula kepada gangguan personaliti yang membuatkan mangsa merasakan diri sudah rosak dan tidak berguna, lalu berterusan merosakkan diri,” jelasnya lagi.









